Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jemaah alu-alukan tarawih di masjid Ramadan ini

Bagaimanapun langkah jarak selamat tetap perlu dilaksanakan, memandangkan ruang solat terhad, justeru jemaah perlu membuat tempahan dalam talian
Mar 23, 2021 | 05:30 AM



JEMAAH masjid mengalu-alukan berita baik tentang pembukaan masjid bagi solat tarawih sepanjang Ramadan tahun ini meskipun ruang solat yang disediakan terhad.



Tahun ini, pintu semua masjid di sini akan dibuka untuk membolehkan umat Islam Singapura menunaikan solat tarawih yang ditiadakan tahun lalu disebabkan pandemik Covid-19 yang memuncak ketika itu.



Namun langkah-langkah jarak selamat tetap perlu dilaksanakan manakala ruang solat terhad, justeru jemaah perlu membuat tempahan dalam talian supaya lebih ramai orang dapat diberi peluang mengunjungi masjid semasa bulan suci ini.



Seorang jemaah, Ustaz Muhammad Hamzah Hamid, 39 tahun, berkata beliau bersyukur kerana solat tarawih dapat dilaksanakan di masjid tahun ini, namun mengingatkan masyarakat harus terus menjalankan tanggungjawab sosial dan mengikuti peraturan memandangkan pandemik masih belum lenyap.



"Syukur Alhamdulillah sebab kita dapat melakukan tarawih. Tapi oleh sebab kita masih dalam situasi pandemik, kita pastikan kita ikut peraturan yang disediakan. Jadi secara keseluruhannya, kita rasa kita dapat bergembira sedikit dengan keadaan yang bertambah baik dan semakin beransur pulih dan kita patut raikan bersama, kita dapat bertarawih sama-sama di masjid," kata ketua jabatan dakwah Masjid Darul Makmur itu.



Encik Hakim Salleh, seorang pegawai teknologi maklumat (IT) berusia 30 tahun, pula berkata beliau tidak sabar untuk menempah ruang solat tarawih itu.



"Peluang menunaikan solat tarawih secara berjemaah di masjid tahun ini amat dialu-alukan. Saya tidak sabar untuk buat 'booking' di masjid kejiranan saya.



"Bagaimanapun, saya harap masyarakat Islam di Singapura dapat terus mematuhi peraturan jarak selamat dan pakai pelitup muka," katanya.



Dalam usaha mengurangkan risiko penularan virus Covid-19 meskipun masjid dibuka untuk tarawih, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan membuka tiga tempoh tempahan bagi solat tersebut - 10 hari pertama, 10 hari kedua, dan 10 malam terakhir Ramadan kepada jemaah.



Setiap tempoh tempahan itu menawarkan 84,000 ruang solat.



Setiap individu hanya boleh menempah ruang solat sekali dalam setiap tempoh itu bagi memberi peluang kepada lebih ramai jemaah mengunjungi masjid.



Seorang eksekutif acara, Encik Afif Amir, 31 tahun, berkata walau bersyukur dengan berita gembira itu, beliau bagaimanapun mendapati tempahan sekali dalam setiap tempoh 10 hari itu tidak mencukupi.



"Saya rasa untuk mendapat tempahan sekali dalam 10 hari agak sedikit. Saya berharap Muis dapat meningkatkan lagi kuota tempahan bagi yang berminat," kata beliau.



Sementara itu, masjid-masjid di sini sudah giat memulakan persiapan untuk solat tarawih dan kegiatan Ramadan lain, seperti pengagihan bubur.



Pengerusi Masjid Al-Amin dan Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, Encik Muhd Khairul Jameel Yahya, berkata:



"Insya-Allah Masjid Al-Amin dan Masjid Jamiyah Ar-Rabitah akan membuat persediaan untuk menyambut jemaah sepanjang Ramadan bagi solat tarawih. Bahkan, masjid kami sudah mula mendapatkan relawan untuk membantu mengendalikan SafeEntry. Kededua masjid juga akan mengagihkan bubur lepas solat asar mengikut nasihat ditetapkan Muis."



Pengerusi Masjid Abdul Gafoor, Encik Paiman Supangat, pula berkata persediaan bagi solat tarawih adalah sama seperti yang dilakukan untuk solat Jumaat, dengan kegiatan seperti ceramah dan nuzul Al-Quran akan diadakan dalam talian.



Pengerusi Masjid Yusof Ishak dan Masjid An-Nur, Encik Khalid Shukur Bakri, berkata pihaknya sudah melakarkan beberapa rancangan dari segi persiapan untuk mengadakan solat tarawih, pengagihan bubur, jadual tazkirah, dan beberapa program lain.



"Gembiranya tahun ini kerana kita dapat lihat sesuatu tanda yang mula mencetus sesuatu yang baru, pembahagian bubur akan diberikan dan juga tarawih akan dilaksanakan tetapi saya berharap masyarakat akan faham bahawa situasi pandemik ini belum berakhir lagi dan kita harus bergerak dengan berhati-hati," kata beliau.




"Syukur Alhamdulillah sebab kita dapat melakukan tarawih. Tapi oleh sebab kita masih dalam situasi pandemik, kita pastikan kita ikut peraturan yang disediakan. Jadi secara keseluruhannya, kita rasa kita dapat bergembira sedikit dengan keadaan yang bertambah baik dan semakin beransur pulih dan kita patut raikan bersama, kita dapat bertarawih sama-sama di masjid."
- Ustaz Muhammad Hamzah Hamid, ketua jabatan dakwah Masjid Darul Makmur.



"Gembiranya tahun ini kerana kita dapat lihat sesuatu tanda yang mula mencetus sesuatu yang baru, pembahagian bubur akan diberikan dan juga tarawih akan dilaksanakan tetapi saya berharap masyarakat akan faham bahawa situasi pandemik ini belum berakhir lagi dan kita harus bergerak dengan berhati-hati.''
- Encik Khalid Shukur Bakri, Pengerusi Masjid Yusof Ishak dan Masjid An-Nur.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >