Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Ladang suria terapung siap dibina di S'pura

Antara terbesar di dunia, terletak di Selat Johor; mempunyai lebih 13,000 panel suria
Mar 24, 2021 | 05:30 AM



LADANG suria terapung yang mampu mengurangkan pengeluaran lebih 4,000 tan karbon dioksida setahun kini telah dibina di Singapura.



Jumlah karbon dioksida yang dikurangkan itu setara dengan pengeluaran gas rumah hijau dari lebih 900 kenderaan persendirian setahun.



Terletak di Selat Johor dan berhampiran Woodlands, ladang tersebut merangkumi lebih 13,000 panel suria, 30,000 boya dan 40 alat pengubah arus elektrik atau inverter.



Ini menjadikannya antara ladang suria terapung yang terbesar di dunia.



Penyedia tenaga mampan Sunseap Group semalam berkata ia mengambil masa hampir setahun untuk membangunkan ladang suria itu ekoran sekatan Covid-19 yang dikenakan.



Sistem yang mampu menyediakan sehingga 5 megaWatt (MW) kuasa elektrik itu dianggarkan menjana enam juta kiloWattsejam (kWh) tenaga setahun.



Ia boleh mengurangkan sekitar 4,258 tan karbon dioksida daripada udara, membawa negara ini lebih dekat kepada sasaran mengurangkan penggunaan karbon secara keseluruhan.



Di Singapura, yang kekurangan ruang darat, kejayaan membina ladang suria terapung itu membuka laluan bagi projek serupa lain untuk menjana elektrik menggunakan kuasa suria di sini dan juga di negara lain di rantau ini.



Ladang suria tersebut dilengkapkan dengan panel suria, sistem pengawalan dan transformer 22 kiloVolt (kV).



Ia juga adalah pusat penghubung kabel dasar laut yang menghubungkan kuasa yang dijana ke grid nasional.



Sistem terapung ini direka supaya boleh mengharungi keadaan cuaca yang berubah, termasuk memastikan platform dan semua peralatan yang ada di atasnya stabil.



Ladang itu juga mempunyai tingkat kedua yang boleh digunakan sebagai pusat pelawat dan galeri tatapan.



Pengasas dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Sunseap Group, Encik Frank Phuan, berkata:



"Ini adalah mercu tanda penting bagi Sunseap kerana kami yakin ruang perairan seperti laut, kolam air dan tasik... menawarkan peluang hebat bagi kota yang kekurangan ruang di darat dan mempunyai penduduk yang ramai untuk menggunakan tenaga suria. Tempat-tempat seperti ini menerima pancaran suria yang tidak diadang dan menanggung risiko rendah dicuri atau dirosakkan."



Menurut Sunseap, projek itu lebih mencabar berbanding memasang panel suria di bumbung bangunan kerana keadaan laut sukar diramalkan dan ia perlu mengelak laluan perkapalan dan tumbuhan di laut.



Kepakaran industri marin juga diperlukan bagi tugas memasang panel suria dan dalam rekaan sistem.



Sekatan pergerakan akibat Covid-19 pada tahun lalu juga memberikan cabaran tambahan kerana pekerja asing yang digajikan oleh kontraktor tidak dibenarkan meninggalkan dormitori.



Antara usaha utama melindungi Bumi daripada perubahan iklim adalah menggantikan penggunaan bahan api dengan sumber tenaga lebih mampan.



Kedudukan Singapura yang menerima cahaya suria yang banyak menjadikan tenaga suria sebagai pilihan tenaga baru yang lebih sesuai.



Singapura telah memberi komitmen mengurangkan pengeluaran asap karbon sebanyak 36 peratus pada 2030 berbanding kadar pengeluaran 2005.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >