Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA: PASANGAN SUAMI ISTERI DIKENAKAN TINDAKAN DI BAWAH ISA

Pengaruh pengganasan, radikalisme 'online' membimbangkan

Badan Melayu/Islam lahirkan keprihatinan
Feb 11, 2021 | 05:30 AM



BADAN Melayu/Islam di sini turut melahirkan keprihatinan berhubung kes pasangan suami isteri yang dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diumumkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) kelmarin.



Mohd Firdaus Kamal Intdzam, seorang warga Malaysia berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sini, ditangkap pada Julai 2020 di bawah ISA kerana ingin menyertai kumpulan militan ISIS di Syria.



Isterinya, Ruqayyah Ramli, seorang guru agama bebas sambilan warga Singapura berusia 34 tahun, dikenakan RO pada Ogos 2020 selepas siasatan menunjukkan dia menjadi radikal kerana pengaruh suaminya.



Menurut beberapa badan Melayu/Islam di sini, kes itu satu peringatan bahawa ancaman pengganasan dan radikalisasi sendiri menerusi pendedahan kepada propaganda pelampau di dalam talian terus wujud.



Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff, berkata berita tentang kes itu mengejutkan.



"Kami berharap ia hanyalah sebahagian dari kes terpinggir sahaja. Namun ini juga membuktikan bahawa radikalisasi tidak mengenal sesiapa.



"Sebarang asatizah yang melanggar tatasusila dalam ARS boleh ditarik balik pengiktirafannya seperti yang berlaku pada asatizah ini. Maka dengan itu, kami berharap para asatizah dapat menjaga kelakuan agar tidak melakukan perkara yang boleh mencemarkan nama baik asatizah.



"Sebagai badan yang menjaga kebajikan asatizah, kami akan menghubungi asatizah terbabit bagi memastikan kebajikan keluarga asatizah tersebut tetap terpelihara.



"Kami juga menyeru agar setiap umat Islam berhati-hati dalam menerima sebarang dakyah agama yang mencurigakan, dan dapat merujuk kepada pihak Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Pergas mahupun Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) bagi pandangan dalam perkara ini," ujar Ustaz Mohammad Yusri.



Pentauliahan Ruqayyah untuk mengajar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), yang diperolehi pada September 2017, telah digantung dan dia tidak dibenar mengendali kelas agama.



Bagi beberapa badan Melayu/Islam yang lain, kes melibatkan pasangan suami isteri itu menjadi keprihatinan dan menunjukkan bahawa ancaman ideologi ekstremis yang bersifat keagamaan atau politik terus menjadi satu isu yang membimbangkan di Singapura.



Pengerusi AMP Singapura, Dr Md Badrun Nafis Saion, berkata pengaruh propaganda ekstremis merupakan satu masalah yang nyata dan sesiapa sahaja boleh terpengaruh.



"Kami menggesa masyarakat agar menimba ilmu agama daripada saluran yang diiktiraf dan harus terus peka terhadap laman yang menggalak kebencian dan keganasan.



"Islam agama yang menegakkan keamanan dan sesiapa yang menggalak kebencian dan keganasan atas nama Islam harus dijauhi, bukan disanjungi," ujarnya.



Menerusi satu kenyataan, PPIS menyeru masyarakat menolak ajaran bersifat eksklusif dan pelampau serta sentiasa berwaspada terhadapnya.



"Sebarang tindakan ekstremis tidak boleh diterima sedang kita berusaha membina masyarakat yang inklusif tanpa mengira jantina, kaum dan agama.



"Dalam perkahwinan dalam Islam, terdapat tanggungjawab dan hak yang perlu dipertimbang dan didukung secara serius oleh suami dan isteri.



"Sementara suami memainkan peranan ketua keluarga dan pelindungnya, antara komitmen utama isteri kepada suaminya ialah untuk mematuhi beliau dalam segala perkara, kecuali dalam hal yang melanggar ajaran Islam," kata PPIS.



Menerusi kenyataannya semalam, Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura berkata tiada tempat bagi ekstremisme dalam mana-mana agama.



"Sebarang tindakan ekstremisme tidak harus disokong dan harus ditolak oleh mana-mana agama atau individu.



"Ini lebih-lebih lagi untuk memerangi kemungkinan pengaruh radikalisasi dan ekstremisme tersebar termasuk menerusi wadah dalam talian dan media sosial," ujarnya.



Tambahnya, Taman Bacaan turut menyokong langkah menggantung pentauliahan ARS Ruqayyah di samping tindakan mengenakan RO terhadapnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >