ORANG RAMAI yang ke Pasar Geylang Serai dapat masuk ke pasar dan kedai di kawasan itu tanpa tanpa pagar hadangan atau melalui pemeriksaan Langkah Pengurusan Selamat Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS), semalam.
Sekatan pagar di keliling kawasan juga telah ditiadakan sebagai sebahagian daripada kelonggaran langkah pengurusan selamat semalam.
Dalam satu catatan di Facebook Sabtu lalu, Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran, Dr Amy Khor, berkata perubahan ini akan memberi penjaja dan pengunjung lebih akses kepada kemudahan.
Kumpulan hingga 10 orang yang sudah divaksinasi sepenuhnya dibenarkan menjamu selera di tempat makanan dan minuman yang telah mengendalikan VDS sepenuhnya.
Bagi tempat makanan yang tidak menuruti VDS sepenuhnya, kumpulan hingga lima orang divaksinasi sepenuhnya dapat duduk bersama tanpa pemeriksaan status vaksinasi di tempat masuk.
Dr Khor berkata bahawa individu yang belum divaksinasi sepenuhnya akan dibenarkan membungkus makanan di tempat-tempat tersebut.
Beliau menambah bahawa pegawai dari Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) akan melakukan pemeriksaan secara berkala.
"Dengan usaha kolektif berterusan, keadaan semakin stabil dan kami berharap untuk meneruskan lebih banyak aktiviti dengan selamat pada masa depan," kata Dr Khor.
Beliau juga menggesa setiap orang terus berwaspada dan terus mematuhi langkah pengurusan selamat yang tersedia untuk "melindungi diri dan orang tersayang".
BH meninjau reaksi orang ramai pada hari pertama longgar sekatan.