KERINGAT yang membasahi wajah dan pakaian bagai menjadi pembakar semangat.
Dengan wajah riang dan niat mendorong asatizah lain serta rakan-rakan mengamalkan gaya hidup sihat, sekumpulan asatizah setempat yang diketuai Ustazah Siti Khadijah Ali sanggup berjalan sejauh kira-kira 3.6 kilometer dari Labrador Park dekat Pasir Panjang hingga ke Keppel Bay dan kemudian ke VivoCity bagi menyokong satu gerakan yang dipanggil #asatizahsihat.
Gerakan tersebut, yang dimulakan oleh Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ulama Dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), bersama Ustaz Syed Muhammad Aljunied, seorang eksekutif kanan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), mendapat sambutan asatizah yang giat mengajak rakan asatizah lain serta masyarakat Muslim setempat menyertai dan mengamalkan gaya hidup sihat menerusi aktiviti senaman, sukan, malah diet pemakanan.
Ada ustaz yang berkongsi pengalaman mengurangkan berat badan di Facebook, ada yang aktif mengajak masyarakat dan peserta kuliah menyertai kegiatan sukan memanah, dan ada juga yang berkongsi pengalaman mengurangkan berat badan kerana meminati acara sukan bermotor.
Dalam kegiatan pada pagi Rabu lalu, Ustazah Siti Khadijah, seorang penceramah bebas dan penasihat pemakanan dan nutrisi bertauliah, mengajak sekitar 12 rakan asatizah dan pengikutnya menyertai acara 'Fat Burning Power Walk with UstazahSK'.
Ia bertujuan membantu peserta melepaskan stres, berjalan untuk membakar lemak selain menjalin silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan rakan baru dan lama yang berkongsi hasrat yang sama iaitu menjalani gaya hidup sihat.
Selepas sesi senaman itu, Ustazah Siti Khadijah telah berkongsi tip menurunkan berat badan dan menjaga kesihatan menerusi cara pemakanan yang betul.
Ustaz jaya turunkan berat badan 28kg dengan amal diet
#asatizahsihat ajak dan galak asatizah sertai gerakan hidup sihat
Jaga ketrampilan untuk jadi contoh pada pelajar dan pengikut
Memanah bantu khusyuk dalam solat, kawal perasaan
Minat pada sukan motor bantu kurangkan berat badan