Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Berjaya genggam ijazah meski dari aliran Normal Akademik

Jan 17, 2022 | 05:30 AM



FOKUS dan raikan setiap kejayaan tanpa mengira kecil atau besar.



Itulah prinsip yang dipegang Encik Muhammad Wafir Hakim Wahid, 26 tahun, setiap kali beliau menghadapi cabaran.



Encik Muhammad Wafir, anak bongsu daripada tiga adik-beradik, pernah berasa amat kecewa apabila keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) beliau amat berbeza daripada abang dan kakaknya.



Keputusan peperiksaan itu melayakkannya ke aliran Normal (Akademik). Adik-beradiknya yang lain ke aliran Ekspres.



Namun, kekecewaan itulah yang merangsang Encik Muhammad Wafir untuk lebih gigih dalam pelajarannya sehingga beliau kini berjaya memiliki ijazah sarjana muda dalam pengurusan perniagaan dengan kepujian tinggi dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) tahun lalu.



Kejayaan Encik Muhammad Wafir tidak datang dengan senang. Dugaan dan tekanan datang silih berganti.



"Ada masanya saya berasa amat sukar juga untuk menghadapi dugaan yang saya alami terutama sekali apabila semuanya berlaku di masa yang sama.



"Contohnya, pada 2016, apabila saya di Maktab Rendah Saint Andrews dan menghadapi tekanan yang meningkat akibat persiapan untuk peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'A', ibu bapa saya pula dalam kemelut penceraian dan ia pasti menjejaskan emosi saya," katanya, yang kini bertugas sebagai pakar perkhidmatan pelanggan di syarikat Hubspot untuk membantu pelanggan peniaga kepada peniaga (B2B) mengembangkan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa.



Namun, Encik Muhammad Wafir bersyukur kerana beliau mempunyai teman-teman serta adik-beradik yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan.



"Setiap kali saya hadapi cabaran atau keraguan diri, saya mengenang kembali akan kejayaan saya, seorang pelajar dari aliran Normal (Akademik), dan bagaimana saya mengambil langkah satu persatu dan meraikan setiap kejayaan walaupun kecil untuk mendapatkan kecemerlangan di peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'N' dan 'O'.



"Saya juga percaya bahawa teman-teman saya memainkan peranan yang penting kerana mereka semuanya pengaruh yang positif, bermotivasi dan adalah tonggak sokongan bagi saya dalam menghadapi pelbagai cabaran," ujarnya, yang gemar menghabiskan masa lapangnya dengan belajar memasak dan bermain sukan seperti Frisbee.



Bagi Encik Muhammad Wafir, beliau percaya semua dugaan dan cabaran yang beliau hadapi telah membentuknya dan menjadi satu perangsang bagi beliau supaya tabah dan gigih untuk berjaya mendapatkan pekerjaan yang baik dan tidak menjadi beban kepada keluarganya.



"Ibu saya adalah inspirasi saya. Sebagai seorang ibu tunggal, beliau bekerja keras untuk membesarkan kami semua dan memastikan kami tidak melalui kehidupan yang susah.



"Adik-beradik saya juga sering membantu saya terutama sekali abang saya yang banyak membantu dalam mata pelajaran yang sukar bagi saya," katanya, yang juga berminat mempelajari lebih banyak bahasa dalam talian dan kini boleh bertutur sedikit dalam bahasa Cina dan Jepun.



Kini, beliau berazam untuk berjaya dalam kerjayanya supaya beliau boleh meringankan beban ibunya yang telah banyak berkorban untuk beliau dan adik-beradiknya.



Impian beliau juga ingin memainkan peranan yang lebih aktif dalam kerja kemasyarakatan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.



Bagi ibunya, Cik Arniati Asmani, 59 tahun, pula, beliau amat bangga dengan kejayaan anak bongsunya yang kian tabah mengharungi pelbagai cabaran dan tidak pernah berputus asa.



"Saya tidak pernah membeza-bezakan anak-anak saya. Saya tahu setiap anak mempunyai kemahiran dan kebolehan, minat serta keperluan pembelajaran tersendiri.



"Bagi saya, sebagai ibu, saya akan memberikan bimbingan, semangat dan sokongan yang penuh bagi setiap anak saya supaya mereka akan mencapai potensi mereka," katanya yang bekerja sebagai ejen hartanah Propnex, yang juga mempunyai seorang anak perempuan, Cik Nur Wajihah Wahid, 30 tahun, seorang jururawat, dan anak sulungnya, Encik Muhammad Wahidin Wahid, 32 tahun, yang kini menuntut sepenuh masa di NTU untuk mendapatkan ijazah Sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan.




"Setiap kali saya hadapi cabaran atau keraguan diri, saya mengenang kembali akan kejayaan saya, seorang pelajar dari aliran Normal (Akdemik), dan bagaimana saya mengambil langkah satu persatu dan meraikan setiap kejayaan walaupun kecil untuk mendapatkan kecemerlangan di peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'N' dan 'O'."
- Encik Muhammad Wafir Hakim Wahid.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >