Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Berjaya raih kelulusan tertinggi di SMU di sebalik aktif dalam kerja kemasyarakatan

Jul 27, 2022 | 05:30 AM



CEMERLANG di medan akademik dan aktif menyumbang balik kepada masyarakat.



Di sebalik kesibukan menimba ilmu, Encik Muhammad Zhafri Azman, 26 tahun, berjaya meraih kelulusan tertinggi Summa Cum Laude dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dalam bidang politik, undang-undang dan ekonomi dan dasar serta pengurusan awam selepas empat tahun menuntut di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).



Semalam, penat lelah beliau berhasil setelah mengenggam segulung ijazah pada upacara konvokesyen.



Kegiatan luar akademiknya amat luas dengan masa terkumpul dalam bidang khidmat masyarakat mencapai 220 jam.



Pada tahun akhir pengajiannya, anak bongsu dua beradik itu menyertai Mendaki Club Re:Work secara sukarela untuk membantu golongan belia Melayu/Islam lain dalam pembangunan kerjaya mereka hingga kini.



Sebagai Ketua Acara Re:Work, antara program yang dianjurkan termasuk bengkel penulisan resume dan kemahiran rangkaian.



Selain itu, beliau melibatkan diri dalam kelab-kelab kendalian pelajar seperti Kelab Bahasa dan Budaya Melayu SMU (SMU-MLCC) sebagai Ketua Logistik dan Kelab Impact Investing SMU selaku Presiden.



Apabila ditanya tentang formula rahsia di sebalik pencapaian beliau, Encik Zhafri tersenyum sambil menjelaskan bahawa formula beliau tidak terlalu istimewa.



Apa yang dilakukannya ialah memastikan beliau mengikut jadual yang ditetapkan.



"Saya buat senarai tugasan yang asas. Di situ, saya membahagikan tugasan saya dalam senarai itu seperti menyediakan bahan pelajaran untuk kelas tutorial dan membuat kerja rumah tepat pada masanya.



"Kemudian, saya pastikan saya buat semakan sebaik sahaja tugasan itu selesai, atau tugasan baru yang perlu dijadualkan," dedah Encik Zhafri, yang juga menekankan bab disiplin, konsistensi dan pengurusan masa.



Walaupun ia boleh dilihat sebagai satu tabiat 'leceh', beliau berpesan bahawa seseorang itu harus selalu berbekalkan matlamatnya dalam minda.



"Saya selalu ingatkan diri saya bahawa saya boleh melakukan kerja kemasyarakatan ini semua tetapi pada masa yang sama, saya masih perlu memastikan pelajaran saya tidak terabai."



Tidak dinafikan dalam proses itu, beliau sering lelah atau 'burnout', dan ada kalanya rasa kesuntukan masa dalam mengulang kaji pelajarannya.



Namun, beliau berasa beruntung mempunyai rakan-rakan seperjuangan di universiti yang banyak memberikan bantuan.



Ini termasuk mempunyai rakan sekumpulan untuk bekerjasama dalam mengusahakan projek dan mengadakan sesi pengajian bersama-sama.



"Saya agak bertuah kerana mempunyai sistem sokongan daripada rakan-rakan yang sentiasa ada untuk saya. Jadi, melalui bantuan mereka, saya benar-benar dapat mengharungi pengajian di universiti dengan sokongan mereka.



"Saya tidak dapat melakukannya tanpa mereka," akui Encik Zhafri.



Dari segi tunggak sokongan, Encik Zhafri mengenang kembali ibunya, Allahyarhamha Cik Zahrah Mohammad, yang memberinya kata-kata nasihat apabila beliau rasa tertekan dengan tanggungjawab sekolah. Ibunya meninggal dunia pada 2020 pada usia 58 tahun disebabkan komplikasi jantung.



Tidak lupa juga dukungan daripada bapanya, Encik Azman Ahmad, 62 tahun, yang bekerja dalam industri perhotelan.



Kini, Encik Zhafri bekerja sebagai pegawai bersekutu di Tata Consultancy Services, yang membantu memacu huraian maju dan canggih bagi syarikat demi memenuhi keperluan kemapanan mereka.




"Saya buat senarai tugasan yang asas. Di situ, saya membahagikan tugasan saya dalam senarai itu seperti menyediakan bahan pelajaran untuk kelas tutorial dan membuat kerja rumah tepat pada masanya.

Kemudian, saya pastikan saya buat semakan sebaik sahaja tugasan itu selesai, atau tugasan baru yang perlu dijadualkan."

"Saya selalu ingatkan diri saya bahawa saya boleh melakukan kerja kemasyarakatan ini semua tetapi pada masa yang sama, saya masih perlu memastikan pelajaran saya tidak terabai."

- Encik Muhammad Zhafri Azman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >