SEJAK mendirikan rumahtangga, Cik Nur Shahida Suhaimi dan suami mahukan keluarga yang besar dengan ramai anak.
Apabila Cik Shahida, 35 tahun, mahu cuba untuk anak ketiga, doktor menyarankan agar berat badannya diturunkan agar peluangnya berbadan dua lagi bertambah.
Beliau seberat 106 kilogram ketika itu.
Meskipun sudah melakukan senaman dan mengubah dietnya, berat badan ibu dua anak itu masih tidak banyak berubah.
Beliau juga tidak mahu menjalani pembedahan bariatrik atau pembedahan yang membantu mengurangkan berat badan melalui perubahan yang dilakukan terhadap sistem penghadaman kerana telah melalui dua pembedahan Caesarean sebelum ini.
Seperti Cik Shahida, 50 peratus pesakit yang dirawat di Pusat Kegemukan (Obesity Centre) di Hospital Besar Singapura (SGH) setiap tahun tidak mahu menjalani pembedahan demi mengurangkan berat badan mereka yang berlebihan.
Ini meskipun mereka memenuhi kriteria memiliki indeks jisim badan (BMI) melebihi 32.5.
Ada juga di antara mereka yang tidak disyorkan menjalani pembedahan akibat risiko tinggi yang boleh dihadapi, atau mereka tidak memenuhi syarat melalui pembedahan bariatrik.
Oleh itu, pusat tersebut telah memperkenal dua prosedur mengurangkan berat badan tanpa pembedahan iaitu ingestible gastric balloon dan endoscopic sleeve gastroplasty (ESG).
"Selain masalah kesuburan, kami mempunyai pesakit dengan masalah berat badan berlebihan yang datang ke Pusat Kegemukan dengan keinginan mahu kurangkan berat badan agar mereka boleh menangani keadaan kronik mereka dengan lebih baik.
"Selain itu, ada juga yang ingin mengelak daripada penyakit seperti kencing manis. Tapi oleh sebab tertentu mereka tidak dapat melakukannya dan mereka tidak mahu atau tidak boleh melakukan pembedahan bariatrik," jelas Dr Lim Chin Hong, Perunding, Jabatan Pembedahan Gastrointestinal & Bariatrik Atas, SGH.
Cik Shahida terpilih sebagai pesakit pertama di Singapura menjalani prosedur ingestible gastric balloon di mana pesakit hanya perlu menelan belon gastrik dengan segelas air tanpa memerlukan pembedahan atau ubat bius.
Belon tersebut berbentuk kapsul yang dihubungkan pada kateter tipis dan ditelan dengan air seperti memakan pil.
Apabila imbasan X-ray menunjukkan bahawa kapsul itu sudah masuk ke perut pesakit, doktor kemudian akan mengisikan belon itu dengan 550 mililiter air menerusi kateter tersebut yang kemudiannya akan dikeluarkan.
Menurut Dr Lim, setelah empat bulan, belon itu akan mengeluarkan air yang ada di dalamnya dan salutan belon tersebut akan dikeluarkan dari badan pesakit ketika beliau membuang air besar.
Dengan adanya belon dalam perut mereka, pesakit yang mengalami masalah berat badan berlebihan atau obese akan berasa cepat ‘kenyang’ maka jumlah makanan yang dimakan akan berkurangan.
Jika dahulu, Cik Shahida boleh menghabiskan seperiuk pasta carbonara seorang diri, kini beliau langsung tidak mempunyai karbohidrat dalam pemakanannya.
Berkongsi dengan Berita Harian, Cik Shahida yang kini berjaya menurunkan berat badannya kepada 82 kilogram sejak prosedur 'menelan belon' itu pada Jun lalu, berkata:
"Setelah seminggu (setelah prosedur itu), saya makan hanya dalam jumlah yang kecil. Memang saya tak boleh makan banyak pun ketika itu.
"Karbohidrat merupakan makanan asas bagi orang Melayu, kita mesti makan nasi walau apa pun, tapi saya okey sahaja (walau tak makan nasi).
"Saya pun makan lebih perlahan sekarang...bila kita makan dengan lebih perlahan, kita rasa lebih kenyang dan sekarang setiap minggu berat badan saya akan turun."
Kini, beliau juga akan melakukan senaman sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari dan makanan sehariannya mengandungi lebih banyak protein seperti ikan, tahu dan cendawan enoki.
Beliau mahu mencapai berat badan pra-perkahwinannya, kongsi ibu dua anak itu, yang akur berasa lebih cergas sekarang.
"Oleh sebab saya bersekolah sepenuh masa sekarang, saya pun tak rasa malu sangat jalan-jalan di sekolah, macam 'humpty-dumpty'. Saya jauh lebih konfiden sekarang!" tambah Cik Shahida sambil tersenyum lebar.
Pilih perkataan yang betul
1/3
< Kuiz sebelumnya
< Kuiz sebelumnya
27
0
Berjaya turun berat badan dari 106kg kepada 82kg tanpa pembedahan
Sep 10, 2020 | 08:33 PM