Berkhidmat sebagai relawan Palang Merah secara ikhlas, tidak harap balasan

Pasukan Palang Merah Singapura (SRC) menyambut ulang tahunnya ke-70 tahun ini. Sepanjang tahun, para sukarelawan menjadi tunjang pertubuhan tersebut dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat, sama ada pada saat-saat getir seperti tragedi yang melanda di peringkat nasional, mahupun pada hari-hari biasa. Wartawan NUR FATHIN AWALLUDIN (nfathin@sph.com.sg) mencungkil kisah dua sukarelawan SRC yang berkongsi pengalaman masing-masing. Ikuti laporannya.

APABILA Hotel New World runtuh pada 1986, setiap hari selama seminggu Encik Pungot Sulo terlibat sama dalam usaha membantu mangsa dan keluarga mereka.

Selain memberi bantuan kecemasan, beliau dan pegawai Palang Merah Singapura (SRC) lain turut berulang-alik ke rumah mayat di Hospital Besar Singapura (SGH), membantu dalam khidmat pengesanan untuk cuba mengesan mereka yang dilaporkan hilang ketika itu dan membantu menenangkan ahli keluarga mangsa.

Dengan tidur yang amat sedikit serta cabaran emosi perlu berdepan dengan ahli keluarga yang terjejas, sudah tentu keletihan akan terasa.

Namun, bagi Encik Pungot, 71 tahun, ia tidak menjadi penghalang baginya menjalankan tugas.

"Dulu, bila perkara berlaku, ia berlaku. Kita bersedia sepenuhnya untuk jalankan tugas, fikiran kita hanya untuk membantu," ujar beliau ketika ditemui di Red Cross House di Penang Lane.

Beliau yang menyertai SRC sejak di Menengah Satu pada 1962 banyak terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan di peringkat nasional.

Ini termasuk operasi seperti nahas kapal terbang MH653 pada 1977.

Beliau juga pernah terlibat dalam perkhidmatan ambulans yang disediakan SRC pada 1960an.

Berkongsi lebih lanjut, Encik Pungot berkata:

"Dulu, kita sokong khidmat ambulans di Singapura sebab waktu itu hospital di Singapura yang ada ambulans sendiri tak banyak.

"Jadi dari 7 malam sampai 7 pagi kita akan standby. Ada daripada kami yang kerja, jadi lepas kerja kami akan datang sini (HQ), tidur di sini, esok pagi pergi kerja balik."

Dalam berkhidmat sebagai sukarelawan dengan SRC, tidak satu sen pun diterima beliau.

Bahkan, wang ringgit merupakan perkara terakhir di minda Encik Pungot dalam menabur bakti kepada mereka yang memerlukan bantuannya.

"Kita tak pernah memikirkan untuk terima bayaran atau diiktiraf, kita tak pernah fikirkan itu - cuma nak lakukan yang terbaik dan nak membantu orang.

"Bila kita buat amal, jangan ingat balasan. Hati mesti ikhlas," ujar beliau terus terang.

Mengangguk sambil mendengar nasihatnya itu ialah seorang anak muda, Nuha Sabrina Sumirano, 16 tahun, yang juga merupakan ahli SRC.

Murid Menengah Empat di Sekolah Menengah Greendale itu merupakan salah seorang penerima Anugerah Belia Presiden SRC tahun ini.

Anugerah tersebut diberikan kepada kadet paling cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian teladan mereka dalam khidmat mereka dengan SRC.

Sejak menyertai SRC ketika di Menengah Satu, Nuha berkata minatnya untuk membantu orang lain bertambah, malah dia mahu meneroka peluang bekerja dalam bidang perubatan kelak.