SALAM LEBARAN

Berkorban cuti demi pertiwi

Setiap Hari Raya, umat Islam menyambutnya ceria bersama keluarga, sanak saudara dan teman. Namun, ada segolongan pekerja awam yang berkorban masa dengan orang tersayang demi melindungi dan menjaga keselamatan negara. Daripada sempadan negara di pusat pemeriksaan kepada hab pengangkutan udara Lapangan Terbang Changi, pegawai pelbagai pasukan seragam seperti Pasukan Polis Singapura (SPF), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) kekal berwaspada demi negara. Ikuti laporan IRMA KAMARUDIN (irmak@sph.com.sg) dan ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) di muka ini, sebelah dan seterusnya.

SELAMA dua tahun berturut-turut, Inspektor Ahmad Zaki Mohamed Zulkifli perlu bertugas pada Hari Raya Aidilfitri.

Namun, tidak sedikit pun jejaka berusia 28 tahun itu mengeluh.

Malah, beliau bangga dapat memainkan peranan menjaga dan melindungi keselamatan sempadan negara supaya orang ramai dapat menikmati hari cuti dengan tenang.

Pegawai kanan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) itu bertugas di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Beliau bertanggungjawab memastikan operasi harian di pusat pemeriksaan itu berjalan lancar dan bekerjasama dengan pegawai Home Team lain untuk menangani kejadian berkaitan keselamatan.

"Saya mungkin tidak dapat bersama keluarga tetapi saya di sini melakukan sesuatu yang bermakna bersama pasukan pegawai yang berdedikasi melindungi sempadan.

"Ini penting terutamanya dengan keadaan keselamatan dipertingkat hari ini dan juga semasa acara antarabangsa penting yang berlangsung di sini," katanya, ketika ditemui.

Walaupun perlu bekerja, suasana Lebaran tetap terasa di pusat pemeriksaan Woodlands, katanya.

Misalnya, rakan sekerja akan membawa makanan dan kuih Raya untuk dikongsi bersama semasa waktu rehat.

Pada Hari Raya tahun ini, beliau bekerja syif pagi. Meskipun tidak dapat sambut Raya bersama keluarga, Inspektor Zaki berkata ibu bapa dan adik-beradik banyak memberi sokongan.

"Ayah selalu mengingatkan saya supaya menjaga diri dan jaga keselamatan di tempat kerja buat diri sendiri dan pegawai di sekeliling.

"Ibu pula akan bangun awal pagi memasak lauk lodeh, lontong dan sambal goreng pengantin supaya saya boleh bawa bekal ke tempat kerja dan mengongsi dengan rakan.

"Adik-beradik pula akan membuat rancangan kunjung rumah saudara apabila saya tidak bekerja," kata Inspektor Zaki, yang belum berumah tangga.

Rakan sekerja dan penyelia juga sumber sokongan kuat baginya meneruskan semangat menjalankan tugas dengan baik.

"Dengan rakan kerja yang memberi sokongan dan penyelia yang memberi bimbingan, saya bina rasa keyakinan diri dan membuat kami lebih komited menjalankan tugas walaupun terlepas menyambut cuti seperti Hari Raya," katanya.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:08
Asar
4:33
Maghrib
7:13
Isyak
8:28
3 HR PSI: 33
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.