Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bersama bina masa depan S'pura

Tumpu pada 'bekerja bersama anda'; perkukuh demokrasi menyalur budi; jalinan dengan rakyat
Jun 16, 2019 | 05:30 AM



BARISAN pemimpin Generasi Keempat (4G) perlu beralih daripada corak pemerintahan yang menumpukan pada usaha 'bekerja untuk anda' kepada 'bekerja bersama anda', kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.



Beliau yang juga ketua pasukan pemimpin 4G bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP), menekankan perlunya memperluas dan memperkukuh demokrasi menyalur budi (democracy of deeds) selain menjalin kerjasama dan mendekati rakyat dengan lebih berkesan bagi memacu Singapura ke depan.



Jelas Encik Heng dalam ucapannya pada sesi dialog unit maklum balas pemerintah Reach dan saluran CNA di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) semalam:



"Menjalin kerjasama membawa takrifan melebihi sekadar menyumbang maklum balas, saranan atau idea. Ia usaha melanjutkan dan merealisasi idea dan saranan itu.



"Singapura pada masa depan, iaitu Singapura yang kita bangunkan bersama, perlu membangun demokrasi menyalur budi dengan warga Singapura mengorak langkah membuat perubahan," katanya memperjelas ungkapan 'demokrasi menyalur budi' yang pernah digunakan salah seorang bapa pengasas Singapura, Encik S Rajaratnam.



Dialog Membina Masa Depan Singapura Kita Bersama itu disertai lebih 400 peserta daripada pelbagai lapisan usia, kaum dan latar belakang.



Inilah kali pertama Encik Heng menggariskan pendekatan terperinci yang bakal diambil pemimpin 4G dalam mentadbir negara terutama pada waktu mencabar ini.



Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan, menjelaskan, beliau dan pasukannya akan saling memupuk kerjasama dengan anggota masyarakat menerusi cara baru dalam melakar dan melaksana dasar dan huraian bersama.



Pemerintah, tambahnya, akan bekerjasama dengan warga setempat bagi mewujudkan masa depan bersama dengan setiap rakyat mempunyai peranan tersendiri.



Membentangkan corak kepimpinan yang berubah-ubah merentas generasi, beliau turut mengimbas langkah berbeza yang diambil pemimpin negara sebelumnya seperti Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew, Encik Goh Chok Tong dan Encik Lee Hsien Loong dalam mentadbir negara.



Mendiang Lee dan pasukannya, kata Encik Heng, jujur dan telus dalam menjelaskan cabaran dan pilihan yang dihadapi penduduk di samping menjelaskan sebab beberapa langkah sukar perlu diambil.



Pasukan Encik Goh pula memberi respons pada keperluan mengubah corak kepimpinan dengan mewujudkan masyarakat berbudi lagi lembut perilaku. Beliau antara lain mewujudkan Unit Maklum Balas sebelum bergelar Perdana Menteri pada 1990 dan Skim Anggota Parlimen Dicalon (NMP).



Menurut Encik Heng lagi, usaha itu kemudian dilanjutkan Encik Lee kini dengan cara pemerintahan lebih inklusif lagi sedia mendengar. Antara yang diusahakan termasuk mengemaskini Unit Maklum Balas menjadi Reach dengan pelbagai pandangan warga Singapura diambil kira. Encik Lee turut memperkukuh dan memperluas jaringan keselamatan sosial seperti CPF Life, MediShield Hayat, CareShield Hayat dan Dana ComCare.



Namun, Encik Heng akur meskipun corak pentadbiran berubah, beberapa faktor lain tetap kekal daripada generasi kepada generasi. Ini termasuk dalam memenangi dan mengekalkan kepercayaan penduduk Singapura yang kekal menjadi teras kepimpinan pemerintah serta menjelaskan segala tukar ganti dan cabaran yang dihadapi negara ini secara telus termasuk dalam hal sulit seperti perihal kependudukan, cukai atau pajakan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).



"Saya percaya kepercayaan antara penduduk dengan pemerintah amat penting. Justeru, cara terbaik memenangi kepercayaan anda ialah dengan pertama sekali mempercayai anda dengan kebenaran - tidak kira betapa sukar atau tidak popular (langkah itu)," ujarnya.



Menyorot usaha Perbincangan Singapura Kita (OSC) yang dijalankan pasukan 4G sebelum ini, Encik Heng yakin ia banyak membantu membentuk matlamat pucuk pimpinan negara.



Bercakap dalam bahasa Melayu pula, beliau menambah:



"Pengalaman turun padang dan berunding dengan rakyat membantu kami membentuk matlamat sebagai pasukan kepimpinan 4G.



"Di samping bekerja untuk anda, pemerintah perlu bekerja dengan lebih baik lagi bersama anda."



Menurutnya, dalam aspek keselamatan negara dan dasar luar negara, pemerintah akan terus memimpin dengan tegas. Namun, beliau menekankan dalam pelbagai bidang lain, terdapat banyak ruang berbahas dan membuat pertimbangan di samping menjalin kerjasama dengan rakyat.



Pemerintah, ujar Encik Heng, akan gigih meneroka cara baru bagi memanfaatkan idea dan perspektif.



Sebagai contoh, beliau menukil bagaimana Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dan pasukannya di Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (Mewr) mendekati warga negara, masyarakat sivil dan syarikat dalam mewujudkan tindakan konkrit mengenai isu berkenaan kemampanan sekitaran - sesuatu yang dekat dengan hati belia yang peka mereka akan mengalami kesan akibat tindakan masyarakat hari ini.



Dalam ucapannya, Encik Heng turut mengumumkan bahawa Menteri Tenaga Manusia, Cik Josephine Teo, akan melancarkan sebuah Panel Warga Negara yang akan meninjau cara terbaik dalam memperbaiki keharmonian kerja-kehidupan.



Encik Heng juga memberi jaminan pemimpin 4G akan mendekati rakyat dalam bulan-bulan mendatang bagi membincangkan isu kemampanan sekitaran, perumahan, warga muda Singapura dan mobiliti sosial.




"Menjalin kerjasama membawa takrifan melebihi sekadar menyumbang maklum balas, saranan atau idea. Ia usaha melanjutkan dan merealisasi idea dan saranan itu. Singapura pada masa depan, iaitu Singapura yang kita bangunkan bersama, perlu membangun demokrasi menyalur budi dengan warga Singapura mengorak langkah membuat perubahan."
- DPM Heng Swee Keat.




Laporan lanjut : Dialog kongsi matlamat sama, bincang idea terbaik buat negara




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >