Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Beruang kutub zoo S'pura mati

Setempat
27
0

Beruang kutub zoo S'pura mati

Apr 26, 2018 | 05:30 AM

TAMAN Haiwan Singapura mengucapkan selamat tinggal kepada beruang kutub kesayangan negara, Inuka, pada sekitar 9.30 pagi semalam.

Ini setelah pemeriksaan kedua yang dilakukan awal pagi semalam mendapati keadaan kesihatan Inuka tidak menunjukkan sebarang tanda menjadi lebih baik sejak tiga minggu lalu meskipun telah menjalani rawatan intensif.

Pasukan rawatan Inuka yang terdiri dari doktor haiwan serta para penjaganya membuat keputusan bersama tidak menyedarkannya semula atas dasar ihsan dan kemanusiaan setelah Inuka diberi anestesia pada 7 pagi semalam.

Menurut Dr Cheng Wen-Haur, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Sains Hayat, Wildlife Reserves Singapore (WRS), yang ditemui pihak media, luka dalam yang terdapat pada kaki serta badan Inuka semakin teruk dan tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan.

"Keputusan melepaskan Inuka dibuat dengan pengetahuan bahawa keadaan kesihatannya akan menjejas kebajikannya.

"Meskipun kami mahu terus menjaga Inuka… tanggungjawab kami adalah pada kebajikannya," kata beliau.

Inuka, yang dilahirkan pada 26 Disember 1990 di Taman Haiwan Singapura, dan kini berusia 27 tahun, merupakan beruang kutub pertama yang dilahirkan dalam persekitaran tropika.

Dari segi usia manusia, Inuka berusia sekitar 70 tahun.

Pada usianya sekarang, Inuka telah melebihi jangka hayat beruang kutub di bawah jagaan manusia iaitu secara purata 25 tahun.

Timbalan Ketua Penjaga, Encik Mohan Ponichamy, berkata meskipun terasa amat berat melepaskan Inuka, semua yang terlibat dalam penjagaannya faham keputusan tersebut diambil semata-mata demi kebaikan beruang kutub itu.

"Kami bersamanya sepanjang proses tersebut dan kami menghabiskan sepenuh malam (kelmarin) bersamanya untuk memastikan ia selesa," ujar Encik Mohan, kehibaan jelas terpampang di wajahnya.

Inuka dikelilingi doktor haiwan dan para penjaganya di saat ia menghembuskan nafas terakhir dengan tenang.

Dr Cheng turut menambah bahawa autopsi penuh akan dilakukan ke atas Inuka dan sebahagian tubuhnya mungkin akan disimpan bagi penggunaan pendidikan.

Taman Haiwan Singapura berkata ia tidak akan lagi membawa masuk sebarang beruang kutub ke sini.

Difahamkan bekas tempat beruang kutub akan dibaik pulih dan dijadikan tempat anjing laut dalam beberapa bulan akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Singapore Press Holdings (SPH) dan Yayasan SPH, Dr Lee Boon Yang, berkata:

"Kami sangat sedih dengan pemergian beruang kutub kesayangan kami, Inuka.

"SPH dan Yayasan SPH telah membiayai penjagaannya sejak ia lahir di Singapura. Selama bertahun, ia telah menggembirakan ramai, dan kini kita berkongsi kesedihan semua dengan pemergiannya.

"Kami percaya bahawa keputusan WRS melepaskannya adalah yang terbaik dan berterima kasih kepada Taman Haiwan Singapura kerana menjaganya selama ini."


"Kami sangat sedih dengan pemergian beruang kutub kesayangan kami, Inuka. SPH dan Yayasan SPH telah membiayai penjagaannya sejak ia lahir di Singapura. Selama bertahun, ia telah menggembirakan ramai, dan kini kita berkongsi kesedihan semua dengan pemergiannya. Kami percaya bahawa keputusan WRS melepaskannya adalah yang terbaik dan berterima kasih kepada Taman Haiwan Singapura kerana menjaganya selama ini."
- Dr Lee Boon Yang, Pengerusi Singapore Press Holdings (SPH) dan Yayasan SPH.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3