SINGAPURA dan Brunei akan membentuk program biasiswa dua hala yang akan ditawarkan kepada pelajar Brunei yang cemerlang untuk mengikuti pengajian praperingkat tinggi di Singapura.
Ini bertujuan menggalak pertukaran antara belia dengan pemimpin akan datang, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyatan semalam.
Menurut MFA, Singapura juga telah bersetuju untuk membolehkan pegawai perkhidmatan awam Brunei menjalani penempatan kerja dan mengikuti program latihan dalam perkhidmatan awam negara ini.
"Ini akan mempertingkat hubungan dan rasa saling memahami antara perkhidmatan awam kita," ujar MFA.
Kementerian Pendidikan (MOE) dan Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) akan bekerjasama dengan rakan sejawatan mereka dari Brunei untuk menghasilkan butiran bagi kedua-dua inisiatif itu.
Pengumuman tersebut itu dibuat sedang Putera Mahkota Brunei, yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, mengakhiri lawatan rasminya ke Singapura bagi Program Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei Kelapan hari ini.
Menerusi program itu, generasi muda pemimpin kedua-dua negara juga berpeluang mengeratkan hubungan peribadi mereka.
"Mereka mengesahkan lagi hubungan rapat dan istimewa antara Singapura dengan Brunei. Dua pihak ini bertukar-tukar idea tentang cara memanfaatkan YLP bagi memperluas lagi kerjasama dua hala," ujar MFA.
YLP Kesembilan akan berlangsung di Brunei tahun depan. Dilancarkan pada 2013, YLP sebuah wadah utama bagi warga muda Singapura dan pemimpin Brunei berinteraksi serta menjalin hubungan.
Sebagai sebahagian program lawatannya, Putera Al-Muhtadee Billah menemui Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, di Istana semalam. Mereka kemudian makan tengah hari bersama.
Putera Al-Muhtadee Billah, yang disertai isterinya, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, serta tiga anak mereka, juga berkunjung ke River Wonders bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong; Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean; Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.