Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Biasiswa bonus tambahan setelah ibu terima ginjal dari ayah

sim
Aug 23, 2018 | 05:30 AM



PADA awalnya, Cik Nur Syafiqah Mohamad Pasni tiada hasrat meneruskan pengajian ke peringkat universiti kerana ingin terus bekerja dan enggan membebani ibu bapanya dengan kos pengajian tinggi.



Tambahan pula, sejak sedekad lalu, ibunya menghidap penyakit ginjal kronik yang berpunca daripada kesan penyakit tekanan darah tinggi.



Hanya tahun lalu, si ibu tidak lagi memerlukan rawatan dialisis tiga kali seminggu apabila menjalani bedah pindah ginjal hasil derma si ayah yang prihatin.



Namun, setelah bertugas selama beberapa bulan di syarikat pengurusan acara, Cik Nur Syafiqah, 21 tahun, merasakan Diploma Pengurusan Acara dan Projek Bersepadu yang dimiliki daripada Politeknik Singapura (SP) sahaja tidak mencukupi baginya membina kerjaya cemerlang.



Beliau gigih menyemak risalah bagi mencari kursus sesuai di universiti tempatan yang akan menambah minatnya dalam bidang pengurusan acara.



Hasil proses tersebut, beliau temui keterangan tentang kursus ijazah pengurusan acara berkesinambungan dengan kepujian yang ditawarkan kampus SIM Global Education (GE) menerusi program Universiti Stirling di Britain.



Beliau, yang baru memulakan tahun pertama pengajian juga bernasib baik kerana dipilih sebagai antara lima mahasiswa yang menerima Biasiswa SIM GE baru-baru ini. Biasiswa itu mampu mengurangkan bebanan kewangannya.



Ditemui wartawan di pejabat Berita Harian baru-baru ini, Cik Nur Syafiqah berkata:



"Saya memang tidak merancang ke universiti sebelum ini. Saya sangka saya boleh mempertingkat diri saya menerusi pengalaman bekerja. Sayangnya, apa yang saya miliki hanyalah latihan yang berpangkalan di bilik darjah.



"Selain pengalaman bekerja dalam bidang pengurusan pentas di taman bertema Universal Studios Singapore (USS), saya tiada pengalaman atau ilmu pengetahuan lebih mendalam tentang pengurusan acara. Maka, rasanya lebih baik jika saya kembali belajar di universiti dan dapatkan segulung ijazah."



Kerana ingin menanggung sendiri biaya pengajian tanpa menyusahkan bapanya yang bekerja sebagai jurutera teknikal, Cik Nur Syafiqah, sambung bekerja di USS.



Beliau menyifatkan latihan mengendalikan pelbagai acara harian dan musiman taman bertema itu membuatnya lebih tangkas memahami cita rasa pelawat termasuk dari luar negara.



"Minat mengurus acara sebenarnya timbul sejak saya menggalas amanah sebagai pemimpin kem pelajar di sekolah menengah. Ketika itu, kami buat banyak perancangan dan siapkan segalanya tanpa bantuan pihak luar.



"Saya juga suka menonton konsert dan muzikal. Maka, bagi kerjaya jangka masa panjang, saya yakin bidang pengurusan acara akan membuatkan saya sentiasa teruja," kongsinya.



Cik Nur Syafiqah kini bersyukur kesihatan ibunya kian pulih menyusuli proses bedah pindah ginjal yang dijalani. Tiada kesulitan timbul daripada pembedahan itu bagi ibu bapanya.



Namun, sebelum pembedahan itu, mereka dilanda pelbagai ujian kesihatan yang merisaukan. Ayahnya dikesan menghidap ketumbuhan perut manakala ibunya pula perlu menjalani pembedahan tiroid.



"Berulang-alik ke hospital sudah jadi sebahagian hidup saya sejak kecil lagi. Sewaktu umur saya 10 tahun, ibu sudah dikesan menghidap penyakit ginjal. Maka, saya sangka, memang satu kebiasaan buat semua orang ke hospital.



"Alhamdulillah, ibu seorang yang positif dan berdisiplin menjaga pemakanan ubatnya. Beliau tahu kesihatannya pernah diabaikan dengan pemakanan yang tidak sihat dan kurang bersenam sebelum ini. Maka, apabila sakit, beliau pastikan ubat tidak dilupakan," katanya.



Cik Nur Syafiqah selanjutnya berharap dapat menggarap kemahiran dan menambah pengetahuan menguruskan acara besar-besaran.



"Di USS, saya banyak belajar tentang memberi khidmat terbaik penuh hormat meskipun berdepan dengan masalah.



"Saya juga perlu tangani perihal penghibur yang kadangkala memperlekeh dan menindas kru pengurusan pentas. Banyak kesabaran yang diperlukan tetapi melihat kejayaan dan sambutan baik pada setiap acara yang dianjurkan, segala penat akan hilang," tambahnya.




"Saya memang tidak merancang ke universiti sebelum ini. Saya sangka bolehlah saya mempertingkat diri saya menerusi pengalaman bekerja. Sayangnya, apa yang saya miliki hanyalah latihan yang berpangkalan di bilik darjah. Selain pengalaman bekerja dalam bidang pengurusan pentas di taman bertema Universal Studios Singapore (USS), saya tiada pengalaman atau ilmu pengetahuan lebih mendalam tentang pengurusan acara. Maka, rasanya lebih baik jika saya kembali belajar di universiti dan dapatkan segulung ijazah."
- Cik Nur Syafiqah Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >