Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bimbang dengan kerugian, peniaga harap dapat terima bantuan

Jul 22, 2021 | 05:30 AM



DUA minggu lalu, pemilik Aroma Kampung, Cik Siti Khadijah Mukhit memperluas perniagaannya dan bekerjasama dengan rakan kongsi beliau untuk membuka restoran makanan Melayu dan Barat baru, 1819, yang terletak di Boat Quay.



Ini kerana beliau yakin keadaan Covid-19 sedang beransur pulih di Singapura.



Malangnya, kes masyarakat melonjak baru-baru ini akibat kelompok KTV dan Pelabuhan Perikanan Jurong (JFP) yang semakin berleluasa, menyebabkan Singapura kembali ke Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat) mulai hari ini hingga 18 Ogos.



"Saya betul-betul kecewa dengan peraturan baru ini. Baru nak bernafas, dan sekatan dikenakan lagi. Ini bukan hanya menjejas perniagaan, tetapi juga gaji, kos dan perbelanjaan kami," ujarnya yang kini perlu menanggung kos perbelanjaan dua kedai.



Seperti beliau, peniaga dalam sektor makanan dan minuman (F&B) rata-ratanya merasakan pukulan sekatan yang diumumkan kelmarin di mana menjamu selera di premis F&B termasuk pusat penjaja dan pusat makanan dilarang dan mereka hanya boleh menawarkan khidmat penghantaran dan beli pulang.



Peniaga yang dihubungi Berita Harian (BH) mengeluh bahawa semakin sukar untuk bertahan dalam kerugian.



Mereka mengharapkan lebih banyak bantuan daripada pemerintah, contohnya agar rebat diberikan dengan segera, serta kerjasama pihak berkepentingan seperti tuan tanah.



Ramai yang melahirkan rasa kecewa terhadap peraturan makan di luar yang kerap berubah meski sektor itu mematuhi setiap undang-undang dengan teliti.



Pemilik T-Bob's Corner, Cik Indah Nabielah Zulkarnain, berkata: "Perniagaan sudah agak teruk terjejas semasa bulan Mei dan Jun tahun lalu, dan kami baru ingin kembali kepada keadaan normal apabila makan di luar dibenarkan dan cuba menutup kerugian lalu tetapi usaha kita disekat sekali lagi.



"Ini meskipun kita sudah bersusah payah mematuhi setiap peraturan namun ia musnah dalam hanya beberapa hari kerana tindak-tanduk sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab."



Pemilik restoran makanan fusion, Walaku yang terletak di Joo Chiat Road, Encik Hairul Hidayat Isa berkata walaupun terdapat rebat sewa yang dihulurkan pemerintah, pembayaran balik tidak dilakukan dengan segera dan selalunya tiba berbulan-bulan setelah permohonan dibuat.



"Bagi perniagaan F&B, semua pembayaran yang kami lakukan adalah dengan segera dan tepat pada waktu. Ini termasuk bayaran sewa, bayaran gaji pekerja, dan bayaran kepada pembekal stok kami. Jadi kami perlu menanggung semua kos itu sendiri dahulu sebelum bantuan tiba," katanya.



Menurut Encik Hairul lagi, pertukaran peraturan selalunya diumumkan secara mendadak, membuatkan peniaga sepertinya kesuntukan masa untuk menukar strategi perniagaan. Dalam pada itu, mereka terkial-kial membayar balik deposit kepada pelanggan yang sama ada telah membuat tempahan di restoran atau memesan makanan awal untuk perhimpunan yang telah mereka rancang.



Disebabkan sekatan baru ini, beliau terpaksa membayar balik hampir $30,000 kepada pelanggan.



"Peraturan ini bukan hanya menjejas kegiatan menjamu selera di kedai, tetapi dengan perhimpunan sosial dikurangkan kepada dua orang, kami menerima banyak pembatalan dalam penghantaran kerana pelanggan tidak dapat makan beramai-ramai bersama keluarga, rakan... kesannya ke atas kami berganda," tambah beliau.



Untuk menangani kos operasi, pemilik Kafe Limaa, Cik Zakiah Asmawi terpaksa berpindah dari Haji Lane ke kedai yang lebih kecil di Golden Landmark empat bulan lalu, kerana bayaran sewanya lebih rendah.



Bagaimanapun, beliau masih mendapati ia sukar bertahan.



"Sedang kami perlu fleksibel dan menyesuaikan diri kepada perubahan, pemilik bangunan atau kedai tidak. Mereka masih mengharapkan sewa penuh dan tepat pada waktunya," ujar beliau.



Dengan perniagaan F&B hanya dibenarkan untuk menawarkan khidmat penghantaran serta beli pulang, Cik Zakiah menyuarakan kerpihatinan bahawa wadah penghantaran mengambil peratusan besar komisen daripada peniagaan.



Dengan kemerosotan pendapatan yang dialami sambil memastikan harga makanan dimampui, peniaga masih perlu memberikan 30 peratus hasil penjualan mereka kepada wadah penghantaran, yang menurutnya adalah tinggi.



Meluahkan keprihatinannya tentang penghantaran juga, pengasas All Things Delicious yang terletak di Arab St, Cik Dewi Imelda Wadhwa berkata orang ramai tidak rela membelanjakan wang bagi kos penghantaran yang amat tinggi. Justeru peniaga sepertinya sama ada perlu menanggung kos itu atau menghadapi penjualan lebih rendah yang menyebabkan kerugian.



Beliau menganggarkan akan mengalami kemorosotan dalam penjualan sebanyak sekurang-kurangnya 60 peratus kali ini, ditambahkan lagi dengan kemerosotan yang dialami daripada Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat) Mei lalu.



Keutamannya kini adalah rebat sewa dan gaji pekerja memandangkan sektor F&B merupakan industri yang intensif dari segi pekerja.



Meluahkan perasaannya, Cik Dewi berkata: "Kami tidak pasti jika kami dapat bangkit kembali dengan cepat daripada sekatan terbaru ini." - Laporan tambahan oleh NATASHA MUSTAFA




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >