JEMAAH boleh menempah slot solat Jumaat pada setiap minggu bermula minggu depan dan tidak lagi perlu menanti dua tiga minggu antara tempahan.
Mulai 12 November ini, solat Jumaat juga akan dimulakan lebih awal, selaras dengan waktu Zohor yang lebih awal.
Tempahan bagi solat Jumaat tersebut dibuka pada Selasa ini.
Mengumumkan sedemikian, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen berkata Muis dan pihak masjid membuat penyesuaian itu selepas membuat kajian atas kadar penempahan solat Jumaat.
Bercakap kepada wartawan selepas menghadiri majlis Maulidur Rasul di Masjid Al Falah pada 4 November, Encik Kadir berkata sistem menempah solat Jumaat sedang diperhalusi untuk menerima tempahan solat di masjid berdasarkan ruang yang ada. Buat masa ini, sistem itu memperuntuk slot solat mengikut zon.
"Bermula minggu hadapan, jemaah boleh mengerjakan solat Jumaat pada setiap minggu asalkan mereka dapat membuat tempahan ruang solat.
"Mereka tidak perlu mengambil giliran, dan tunggu hingga dua atau tiga minggu, untuk membuat tempahan solat Jumaat.
"Masjid akan membuat penyesuaian daripada segi jumlah zon yang disediakan," ujar Encik Kadir.
Jemaah akan tetap diasingkan mengikut kumpulan 50 orang untuk mematuhi langkah pengurusan selamat.
Sementara itu, solat Jumaat pada minggu depan juga akan diadakan lebih awal, selaras dengan waktu Zuhur yang lebih awal.
Sesi pertama dijadual berlangsung dari 12.45 hingga 1.30 tengah hari.
Sesi kedua pula akan bermula dari 1.45 tengah hari hingga 2.15 petang atau 2 petang hingga 2.30 petang, bergantung pada saiz masjid.
Sesi ketiga pula dijadual berlangsung dari 2.30 hingga 3 petang.
Dalam pada itu, sesi ketiga solat Jumaat yang kurang mendapat sambutan akan ditiadakan di beberapa masjid mulai 12 November.
Pada masa yang sama, masjid-masjid itu akan menambah ruang solat bagi sesi pertama dan kedua, menurut Pengarah Kanan bagi Masjid dan Pembangunan Masyarakat, Encik Zaini Osman.
Encik Zaini berkata langkah itu diambil berdasarkan maklum balas dan bilangan jemaah bagi sesi ketiga adalah kurang separuh bilangan jemaah yang masing-masing menghadiri sesi pertama dan kedua.
Biasanya, sekitar 10,000 jemaah menghadiri sesi solat Jumaat ketiga, berbanding sekitar 43,000 jemaah yang masing-masing menghadiri sesi pertama dan kedua di kesemua 66 masjid di Singapura.
Dengan perubahan ini, ia bermakna, akan ada tambahan masing-masing sebanyak 3,000 ruang solat bagi sesi pertama dan kedua.
"Ekoran pandemik, pihak masjid terpaksa membuat penyesuaian tetapi dengan ia kini menjadi satu norma, kami mahu mengubah sikap jemaah dan menarik mereka untuk kembali menunaikan solat Jumaat sebelum jam 3 petang," kata Encik Zaini.
Masjid-masjid di Singapura menawarkan tiga sesi solat Jumaat sejak masjid dibuka semula bagi solat berjemaah di tengah-tengah pandemik ini untuk memenuhi permintaan jemaah.
Muis akan memberi butiran lanjut mengenai perubahan ini pada Isnin nanti.