PEMBUAT pesawat Bombardier kelmarin mendedahkan pusat khidmatnya yang diperluas di Singapura - empat kali lebih besar daripada asal - di tengah-tengah peningkatan permintaan bagi perkhidmatan jet privet di seluruh dunia.
Pusat itu dijangka menyokong lebih 2,000 lawatan jet perniagaan setiap tahun dan kini adalah kemudahan penyelenggaraan jenis itu yang terbesar di rantau Asia Pasifik, bahagian utama rangkaian sejagat syarikat itu, kata Bombardier.
Sebelum peluasannya, pusat itu menyokong 895 lawatan jet privet pada 2019.
"Dengan peluasan utama ini, Pusat Khidmat Singapura akan menawarkan manfaat meluas, termasuk pesawat diterbangkan dengan pantas, kemudahan lebih banyak, dan ketenangan minda bagi pangkalan pelanggan Bombardier di Asia," kata Naib Presiden Eksekutif bagi perkhidmatan dan sokongan serta strategi korporat, Encik Jean-Christophe Gallagher.
Ketua Eksekutif Bombardier, Encik Eric Martel, memberitahu media di pelancaran itu bahawa perniagaan trafik jet di rantau Asia-Pasifik, tidak termasuk China, telah meningkat semula dan pusat khidmatnya di Singapura menyaksikan lawatan pesawat sekitar 2,000 setahun.
"Kami belum begitu kembali ke pra-Covid-19, tetapi jurangnya kurang 10 peratus.
"Kini dengan trafiknya mula kembali, kami berasa kemudahannya akan dapat diisi dengan amat pantas... saya amat optimistik ia akan menjadi lebih baik daripada pra-Covid-19 akhirnya," kata beliau, lapor akhbar The Straits Times.
Syarikat Canada itu juga berkata ia kini berupaya menawarkan pengendali penerbangan perniagaan pilihan minyak lebih mesra sekitaran di Lapangan Terbang Seletar, selepas menerima kelompok pertama minyak penerbangan mampan daripada syarikat minyak dan gas Shell.
Terletak di Taman Aerospace Seletar, pusat khidmat Bombardier itu meliputi kawasan seluas 27,000 meter persegi - bertambah daripada 6,500 meter persegi sebelum ini.
Kos kerja bagi peluasan berjumlah AS$85 juta ($118 juta) itu bermula pada 2019, namun berhadapan kelewatan akibat pandemik Covid-19.
Tambahan baru pada pusat itu, yang mula dibuka di sini pada 2014, termasuk perkhidmatan penuh serta kemudahan mengecat dalam sekitaran terkawal - yang pertama di Asia - selain struktur berat baru dan keupayaan membaiki komposit.
Pusat lebih luas itu juga menempatkan sebuah depot bahagian bersepadu yang dibuka 24 jam setiap hari, dan akan menyediakan khidmat bagi Singapura dan seluruh rantau ini.
Dengan hangar baru seluas 7,300 meter persegi, pusat itu akan dapat menampung hingga 30 jet pada satu-satu masa, seganda lebih banyak daripada kapasiti sebelum ini.
Terdapat juga fungsi sokongan utama di pusat itu, seperti kejuruteraan, penjualan dan sokongan pelanggan, selain portfolio perkhidmatan komponen, pembaikan dan naik taraf, kata Bombardier.
Ia menambah bahawa kemampanan sekitaran kunci utama bagi reka bentuk pusat yang diperluas itu.
Ciri-ciri hijau termasuk pengecaj kenderaan elektrik, cahaya LED dan paip dengan kederasan air rendah.