Subuh
5:29
Syuruk
6:52
Zuhur
12:55
Asar
4:18
Maghrib
6:55
Isyak
8:09
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Setempat
27
0

Brunei, pengalaman buka mata

Dec 17, 2022 | 05:30 AM



PADA suatu malam di ibu kota Brunei, Bandar Seri Begawan, Encik Rustam Shariq Mujtaba, 25 tahun, ahli farmasi prapendaftaran, melihat betapa bersatu hati masyarakatnya, dengan mereka senang memberi ucapan hormat kepada pegawai polis di tepi jalan raya atau menyapa satu sama lain semasa membeli hidangan nasi katok di gerai.

Encik Rustam juga terdedah kepada prasarana dan projek-projek yang disediakan buat rakyat Brunei semasa teman barunya dari negara itu, Encik Ashmeer, memandu beliau di sekitar ibu kota.

Pengalaman itu buka mata Encik Rustam yang mengunjungi Brunei buat julung-julung kalinya bagi Program Pertukaran Pemimpin Belia Singapura-Brunei (SBYLEP) dari 19 hingga 23 November lalu.

Program SBYLEP ini adalah antara persidangan belia dua hala di negara Asean, anjuran Majlis Belia Kebangsaan (NYC), dengan pemimpin belia dari Singapura mengembara di kawasan-kawasan lain di rantau ini seperti Malaysia dan Indonesia.

Dalam program yang melibatkan 30 perwakilan belia dari Singapura dan Brunei ini, mereka berpeluang berkumpul dan mengambil bahagian dalam dialog dengan penggubal dasar kanan dan pemimpin pemikiran, serta melalui perjalanan pembelajaran yang mendalam dan sesi rangkaian.

Mengulas mengenainya, Encik Rustam berkata:

“Program SBYLEP ini adalah satu pengalaman pembuka mata. Saya sedar bahawa belia boleh membantu membentuk budaya, dasar dan arah tuju ekonomi masa depan sebuah negara. 

“Mendengar teman-teman dari Brunei berkongsi kisah mereka, pergelutan mereka dan lebih penting lagi, matlamat mereka, memberi inspirasi kepada saya untuk berfikir dengan lebih luas lagi.”

Siswazah sarjana muda jurusan farmasi dari Universiti Nasional Singapura (NUS) itu prihatin terhadap penjagaan kesihatan dan farmaseutikal.

Asalnya mendapat tempat belajar dalam jurusan undang-undang di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Encik Rustam mengubah haluan dan terdorong menceburi bidang farmaseutikal selepas berkhidmat sebagai sarjan perubatan ketika dalam Perkhidmatan Negara (NS).

Justeru, semasa sesi Dialog bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (Brunei Darussalam), Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Haji Mohamad, Encik Rustam berpeluang menanya tentang pendekatan berpaksikan belia untuk meningkatkan daya tahan.

Menerusi maklum balas Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi, Encik Rustam mendapat tahu bahawa negara itu mempunyai rancangan mahu bekerjasama merentasi kementerian untuk mendidik lebih lanjut tentang kesihatan mental dan mengukuhkan lagi kekuatan rohani dalam kalangan belia.

“Saya gembira mendapat tahu bahawa Pelan Aksi Kesihatan Mental (MHAP) baru dilancarkan di Brunei pada 12 November.

“Pelan itu jelas menawarkan pendekatan pelbagai aspek yang bertujuan mendidik, menggalak tingkah laku, mencari bantuan sambil berusaha mengukuhkan penyelidikan dan kapasiti kesihatan keseluruhan supaya mereka dapat menguruskan lebih banyak kes,” katanya yang fasih bertutur dalam bahasa Mandarin, Melayu dan dapat berbual dalam bahasa Jepun.

Pada sesi dialog itu juga, Encik Rustam berpeluang mengetahui tentang hala tuju Wawasan Brunei 2035 yang memaparkan tumpuan utama Brunei dari 2008 hingga 2035 serta mendengar perkongsian berkenaan Dasar Perubahan Iklim Nasional, Strategi dan Dasar Belia Nasional yang mengetengahkan belia sebagai pemegang kepentingan.

“SBYLEP adalah program pertama saya, dengan saya berpeluang ke luar negara untuk mewakili NYC dan ia membuat saya bangga dapat mewakili Singapura,” ujar Encik Rustam yang pernah merancang dan menganjurkan acara hackathon penjagaan kesihatan semasa pandemik Covid-19. 

Acara tersebut menerima penyertaan lebih 200 pelajar dari serata dunia sejauh Sudan Selatan, Brazil dan Asia-Pasifik.

Katanya lagi, beliau turut berbesar hati ditempatkan bersama ramai individu yang berjaya.

“Daripada perwakilan Singapura, NYC memilih belia dengan pelbagai suara yang mempunyai perspektif unik. 

“Ini membolehkan perbincangan kami menjadi lebih holistik dan meliputi bidang berbeza seperti kesihatan, perniagaan dan pendidikan.

“Secara peribadi, saya juga gembira dapat menjalin persahabatan rapat dengan belia dari Brunei yang saya boleh hubungi sekiranya ada projek antarabangsa,” kata Encik Rustam.

Lantaran itu, Encik Rustam menggalakkan golongan belia agar merebut peluang turut serta dalam program di luar negara buat belia anjuran NYC supaya mereka dapat mengalami kepelbagaian dan menerokai budaya dan masyarakat melampaui sekitaran di dalam bilik darjah.



Tekad hidupkan budaya tolong-menolong di Singapura



BERAT sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Pekerja sosial, Cik Zulayqha Zulkifli, 28 tahun, berasa kagum dengan semangat masyarakat Bali yang teguh bersatu membantu golongan memerlukan melalui bantuan badan-badan masyarakat ketika keadaan pandemik Covid19 memuncak dan menjejas industri pelancongan pulau Bali.

Pengalaman itu meninggalkan kesan buat Cik Zulayqha semasa beliau turut serta dalam Program Pertukaran Pemimpin Belia Singapura-Indonesia (SIYLEP) di Bali dari 18 hingga 24 September lalu.

Beliau merupakan antara 25 wakil belia dari Singapura dan 34 wakil belia dari Indonesia yang mengunjungi pejabat gabenor wilayah Bali.

Program SIYLEP ini adalah antara persidangan belia dua hala di negara Asean, anjuran Majlis Belia Kebangsaan (NYC), dengan pemimpin belia dari Singapura mengembara di kawasan-kawasan lain di rantau ini seperti Malaysia dan Indonesia.

Dalam program ini, pemimpin belia berpeluang berkumpul dan mengambil bahagian dalam dialog dengan penggubal dasar kanan serta pemimpin pemikiran, dan mengalami perjalanan pembelajaran yang mendalam dan sesi rangkaian.

Tahun ini, tema bagi program SIYLEP adalah Keusahawanan Belia – Pemulihan Tindakan Belia Selepas Pandemik.

Antara program SIYLEP melibatkan pemimpin belia dari kedua-dua negara ini untuk menghadiri Webinar mengenai pelancongan mampan dan bertanggungjawab; dasar pelancongan Indonesia; dan dasar keusahawanan belia.

Menurut Cik Zulayqha, yang juga anggota majlis NYC, yang dilantik sebagai ketua perwakilan Singapura, mereka juga mengadakan perbincangan tentang usaha yang boleh diambil untuk meningkatkan kembali sektor pelancongan pascapandemik.

“Sebagai contoh, kumpulan saya meneroka tentang bagaimana teknologi digital boleh diterapkan untuk melancong ke Bali secara maya/virtual, suatu trend yang kian popular akibat pandemik. 

“Memandangkan Bali kaya dengan persembahan kebudayaan, mereka juga boleh mempertimbang penggunaan realiti maya untuk memaparkan persembahan tradisional mereka kepada penonton di serata dunia,” kata Cik Zulayqha.

Peluang menyertai program di luar negara seperti SIYLEP ini membantu membuka minda Cik Zulayqha pada budaya, amalan hidup dan pemikiran yang berbeza dan memberinya inspirasi dengan terus menabur bakti kepada masyarakat.

Misalnya, kunjungan ke Bali ini telah meningkatkan lagi kepercayaannya bahawa budaya tolong-menolong boleh diterapkan dalam kalangan masyarakat Singapura.

Katanya: “Masyarakat Bali sama-sama menanggung suka duka, baik buruk bersama-sama semasa mereka terjejas dengan kurangnya kehadiran pelancong. Kebanyakan bantuan yang dihulurkan adalah hasil daya usaha badan-badan masyarakat. 

“Maka, kita boleh ambil iktibar daripada mereka yang sama-sama membantu diri sendiri dan mempunyai daya tahan tinggi walaupun dalam keadaan sukar.”

Beliau sendiri telah menubuhkan daya usaha Project Hills yang membantu penduduk di flat sewa dengan mengagihkan habuan barang dapur atau hidangan panas dan membersihkan rumah penduduk yang mempunyai masalah pergerakan – dorongan daripada kehidupannya sendiri. 

Cik Zulayqha bersama tiga beradiknya pernah tidur di bawah blok selepas ibu bapa mereka bercerai. Keadaan bertambah rumit apabila bapanya kehilangan pekerjaan sebagai teknisyen dan kemudian bekerja sebagai pekerja pembersihan.

Bertekad mahu mengubah haluan hidupnya, Cik Zulayqha bekerja keras dan berjaya meraih biasiswa dan melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Politeknik Nanyang dan kemudian mencapai kelulusan ijazah sarjana muda dalam kerja sosial dari Universiti Sains Kemasyarakat Singapura (SUSS). 

Beliau kini sudah berkecimpung dalam bidang kerja sosial selama hampir 10 tahun.

“Saya telah melihat keluarga yang saya bantu melangkah ke depan untuk membantu jiran lain. Maka, seperti masyarakat Bali yang saling menolong, saya harap kita dapat menghidupkan budaya tolong-menolong ini di Singapura,” kata Cik Zulayqha yang juga prihatin terhadap isu-isu kemampanan dan persekitaran.



 




PROGRAM NYC KE LUAR NEGARA
Majlis Belia Kebangsaan (NYC), dengan sokongan rakan kongsi setempat dari Asean, telah mengembalikan program di luar negara buat golongan belia apabila sempadan negara dibuka tahun ini.  Pada hujung 2022, lebih 800 belia mengembara ke negara-negara di rantau Asean, terlibat dalam projek khusus industri atau kesan sosial.
    Menjelang 2023, bilangan belia yang bakal mengambil bahagian dalam ekspedisi sukarelawan, persidangan belia dan program penyerapan yang disokong NYC di Asean dijangka meningkat dua kali ganda berbanding 2019.
    Terdapat melebihi 7,000 peluang serantau untuk belia setempat menjalin hubungan bersama belia serantau menerusi Program Persiap Asia Bagi Belia, iaitu program pertukaran belia dua hala dan pelbagai hala, dan Program Ekspedisi Belia (YEP).
    Hampir 80 peratus peluang ini adalah hasil kerjasama NYC dengan Institut Pengajian Tinggi (IHL). 
    Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) merupakan rakan kongsi terbaru yang telah menandatangani kerjasama dengan NYC selama tiga tahun pada 2022.
 

Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >