Subuh
5:35
Syuruk
6:51
Zuhur
12:56
Asar
4:03
Maghrib
6:58
Isyak
8:06
Setempat

HARI KANAK-KANAK

Budak 10 tahun bantu urus rumah, jaga 5 adik

Oct 04, 2019 | 05:30 AM

USIANYA hanya 10 tahun, tetapi pemikirannya sudah matang bak orang dewasa.

Manakan tidak. Pengalaman hidup banyak mendewasakan abang sulung kepada lima adik berusia antara satu dengan sembilan tahun itu.

Tidak seperti kanak-kanak lain, Aniq Raiyan Khaan akan meluangkan waktu selepas sekolah untuk melakukan kerja rumah - menyapu, merapikan cadar katil, membuat susu - memandikan adik-adiknya dan menidurkan mereka pada waktu malam.

Meskipun ini bukan tugas yang biasanya dipikul oleh seorang kanak-kanak, ia sudah menjadi rutin harian bagi Aniq yang berkongsi ruang rumah sewa dua bilik dengan lapan ahli keluarga lain - ibu, ayah tiri, adik-adik serta mak cik.

"Bila saya nampak rumah tak bersih, saya jadi tak selesa! Kadang-kadang adik saya tinggalkan lampin dalam tandas, saya sendiri yang angkat dan buang.

"Saya juga nak tolong ibu yang sering sakit," ujarnya yang lembut tutur katanya.

Ibunya, Cik Rabiahtuladawiyah Asmani, 28 tahun, sering diserang migrain hemiplegic - keadaan di mana sakit kepala menyebabkan kelumpuhan kepada salah satu sisi badan.

Ayah tirinya pula, Encik Noor Effendy Mohd Sajad, 32 tahun, yang menjaganya sejak dia berusia dua tahun, kini sedang cuti panjang daripada pekerjaan beliau sebagai pemandu bas kerana terlibat dalam kemalangan baru-baru ini.

Justeru, sifat Aniq yang pandai berdikari itu banyak membantu kedua-dua ibu bapanya.

"Kalau takda dia, saya ibarat patah sayap," kata Cik Rabiahtuladawiyah yang terpaksa berhenti kerja disebabkan keadaan kesihatannya.

Suri rumah itu turut berkongsi bahawa sebab lain mengapa beliau menggalakkan anaknya supaya ringan tulang adalah kerana Aniq mempunyai gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD), dan dengan cara sebegini, ia bentuk terapi.

Tatkala ditanya bagaimana mereka tidur setiap malam, Cik Rabiahtuladawiyah terus berkata:

"Macam sardin!"

Setiap malam, menurutnya, anak-anaknya akan bentang tilam dan ramai-ramai tidur di ruang tamu dalam satu barisan.

Cik Rabiahtuladawaiyah menambah: "Sebab itulah rumah kami tak boleh ada kerusi."

Kehidupan Aniq tampak seperti serba kekurangan, namun dia yang positif orangnya, memandang keadaan ini dalam lensa berbeza.

Sebaliknya, dia berkata ini sudah menjadi perkara biasa, malahan dia seronok dapat 'bersempit-sempit'.

"Ia amat seronok... sebelum kami tidur, kami dapat berborak tentang macam-macam benda," katanya yang menambah ia merupakan waktu dia merapatkan hubungan bersama adik-adiknya.

Namun, apabila berkongsi tentang pelajaran dan bagaimana dia melakukan kerja sekolah, Aniq berkata dia akan duduk di sekolah selepas waktu sekolah ataupun ke pusat penjagaan pelajar di kolong bloknya.

Menurut Cik Rabiahtuladawiyah, keadaan rumah yang sentiasa "kecoh" hari demi hari tidak mendatangkan suasana yang kondusif untuk belajar.

Menceritakan pengalamannya, Aniq berkata perhatiannya selalu terganggu jika mengulang kaji pelajaran di rumah.

"Saya tak suka belajar di rumah kerana adik-adik selalu kacau. Nanti bila saya buka buku saya, mereka koyakkan... dah banyak kali.

"Dulu bila saya buat kerja sekolah saya, saya ke tandas sekejap, lepas itu bila saya datang balik, air tumpahlah, buku kena koyak, kena conteng," katanya yang gemar bermain bola sepak.

Biarpun berhadapan dengan pelbagai cabaran, Aniq mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadi pegawai polis, dan akur bahawa mengecapi kejayaan dalam pendidikan adalah penting.

Abang yang sifatnya penyayang tetapi juga tegas itu berkata: "Saya berharap yang terbaik untuk saya dan adik-adik, dan harap mereka buat terbaik dalam pelajaran mereka.

"Saya akan jaga mereka supaya mereka selamat dan tidak terpengaruh dengan perkara yang tak baik."

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian