Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANUGERAH JAUHARI

Buka pintu masjid untuk semua demi keharmonian agama di S'pura

Habib Hassan banyak menyumbang kepada keharmonian kaum di Singapura termasuk ambil tindakan tegas apabila perlu
Oct 12, 2019 | 05:30 AM



BAGI Imam Masjid Ba'alwie, Syed Hassan Al-Attas, masjid bukan sekadar tempat beribadah.



Malah, masjid juga pusat kemasyarakatan, sebuah ruang di mana hubungan dijalin dan diperkukuh, bukan sahaja dengan Allah swt bahkan sesama manusia.



Justeru, imam yang lebih dikenali sebagai Habib Hassan itu sentiasa memastikan pintu masjid di Lewis Road itu terbuka luas kepada sesiapa sahaja - bagi yang beragama Islam ataupun yang bukan Islam.



Hasilnya, Habib Hassan bukan hanya dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di Singapura.



Beliau juga telah menyentuh kehidupan individu daripada pelbagai masyarakat, dari dalam dan luar negara.



Namun, beliau bukan sahaja tokoh agama yang dihormati bahkan pemimpin silang agama yang telah banyak menyumbang kepada keharmonian sosial yang dinikmati warga Singapura selama ini.



Ini antara lain disebabkan kesan pengaruh arwah bapanya yang mendedahkannya kepada masyarakat berbilang bangsa dan agama sejak beliau kecil.



IMAM



Habib Hassan mengambil alih sebagai imam Masjid Ba'alwie pada 1976, selepas pemergian bapanya, Allahyarham Habib Muhammad Salem Al-Attas, pengasas dan imam pertama masjid tersebut.



Masjid dekat Bukit Timah itu diasaskan Allahyarham pada 1952.



"Selepas ayah saya meninggal dunia, saya terus menjadi imam masjid ini.



"Saya masih muda ketika itu dan tidak pernah sekali pun jadi imam di masjid ini sebelum itu, jadi saya agak takut," ujar bapa tiga anak itu.



Namun, beliau tetap cekalkan hati dan memimpin jemaah, mengikut jejak langkah bapanya.



Habib Hassan yang dilahirkan dalam keluarga ulama juga sering diundang menyampaikan ceramah di dalam dan luar negara.



Malah, beliau juga telah menghasilkan lebih 50 buku dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.



Selesa bercampur dengan sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang, agama dan bangsa ataupun taraf sosial, Habib Hassan dikenali sebagai seorang yang lemah lembut namun tegas.



Penasihat Guaman bagi Pertubuhan Antara Agama (IRO) yang juga Presiden Persatuan Peguam Muslim (AML), Encik Noor Mohamed Marican, berkata Habib Hassan bukan sekadar seorang imam masjid, bahkan beliau juga merupakan pemimpin silang agama yang berdedikasi.



"Beliau prihatin tentang Singapura dan sangat ambil berat tentang masyarakat.



"Ini kerana beliau ingin semua masyarakat bersatu," katanya.



TOLAK PENGGANASAN



Sifat inilah yang membolehkan Habib Hassan tampil memimpin lebih 120 pemimpin Islam di sini dengan mengutuk dan menolak pengganasan secara bersama, berikutan penangkapan anggota Jemaah Islamiyah di Singapura pada 2001.



Langkah yang diambil itu bertujuan menunjukkan dengan jelas pendirian masyarakat Islam setempat selain menyampaikan mesej tegas bahawa pengganas tidak melambangkan Islam dan Islam sememangnya agama yang damai.



Lebih penting lagi, langkah yang diambil untuk menentang pengganasan itu menarik perhatian negara lain seperti Britain, Amerika Syarikat dan Australia yang turut mengambil langkah serupa apabila mereka mendapat tahu tentang usaha tersebut.



"Dalam kenyataan yang ditandatangani pemimpin itu, saya nyatakan 'cinta pada negara adalah sebahagian iman'.



"Ini amat penting. Sebagai Muslim warga Singapura, kita harus mempertahan negara ini.



"Ini adalah sebahagian ajaran Islam juga," kata Habib Hassan.



Kenyataan itu juga antara tanda awal yang menunjukkan komitmen pemimpin masyarakat Islam di sini bersatu memerangi ekstremisme.



Bahkan, ia juga menggesa masyarakat menjauhi fahaman pelampau yang menggalak keganasan dan mengancam keselamatan negara.



HUBUNGAN ANTARA AGAMA



Berpegang teguh pada prinsip itu, beliau juga amat mementingkan hubungan baik antara masyarakat berbilang agama dan telah banyak menyumbang kepada keharmonian agama Singapura.



Antara lain, beliau gigih membina persahabatan dan rasa saling percaya antara masyarakat pelbagai agama dan kaum di sini.



Sebagai anggota Pertubuhan Antara Agama (IRO), beliau juga bekerja keras dengan pemimpin agama lain demi mengeratkan hubungan sesama mereka.



Bagaimanapun, hubungan baik yang dijalinnya bersama anggota masyarakat berlainan agama dan bangsa itu bermula awal dalam kehidupannya, malah sebelum beliau menyertai IRO.



"Jiran saya sekarang seorang paderi Katolik dan kami membesar bersama.



"Saya juga selalu menemani bapa saya ke sebuah kuil Buddha di Race Course Road dahulu, tempat bapa saya sering duduk berbual bersama seorang sami di sana.



"Saya dibesarkan begini, jadi bercampur dengan masyarakat berbilang bangsa ini sudah menjadi perkara biasa bagi saya," ujar Habib Hassan yang juga anggota lembaga Pusat Harmoni dari 2010 hingga 2012.



Beliau merupakan antara mereka yang menubuhkan Pusat Harmoni bersama Encik Muhammad Haniff Abdul Razak.



Konsep Pusat Harmoni dikagumi banyak persatuan antara agama di serata dunia.



Tidak mudah meletakkan nilai pada usaha individu seperti Habib Hassan.



Walaupun dengan diam-diam beliau mempunyai cara tersendiri membina persahabatan dan memelihara keharmonian yang kadangkala dipandang ringan.



Imam yang telah mendedikasikan seluruh hidupnya sebagai duta Islam itu pernah diiktiraf bagi sumbangannya yang besar kepada masyarakat dan dialog antara agama apabila beliau dinobatkan Anugerah IRO oleh mantan Presiden Tony Tan Keng Yam di Istana pada 2015.



Beliau turut dikurniakan Pingat Jasa Gemilang sempena Hari Kebangsaan Singapura ke-50 pada 2015. Anugerah Hari Kebangsaan mengiktiraf jasa dan sumbangan warga kepada negara.



Sumbangannya turut diiktiraf pada peringkat antarabangsa apabila beliau dinamakan sebagai antara 500 Muslim paling berpengaruh di dunia oleh Pusat Pengajian Strategik Islam Diraja Jordan pada 2017.



Singapura terhutang budi kepada Habib Hassan yang sumbangan dan pengorbanannya menjadikan negara ini tempat yang lebih baik dan harmoni bagi penduduknya.



"Ramai lagi orang yang berjasa tetapi mungkin mereka tidak ke hadapan. Saya rasa diri saya sendiri ibarat satu titik dalam lautan yang dalam.



"Saya selalu doakan yang terbaik buat negara kita Singapura dan berharap generasi muda akan menjadi lebih baik daripada generasi sebelum ini... lebih bersatu tidak kira bangsa atau agama," kata Habib Hassan.




"Ramai lagi orang yang berjasa tetapi mungkin mereka tidak ke hadapan. Saya rasa diri saya sendiri ibarat satu titik dalam lautan yang dalam. “Saya selalu doakan yang terbaik buat negara kita Singapura dan berharap generasi muda akan menjadi lebih baik daripada generasi sebelum ini... lebih bersatu tidak kira bangsa atau agama. "
– Habib Hassan, pemenang Anugerah Jauhari Berita Harian 2019.




APA KATA PEMIMPIN LAIN



“Sumbangan Habib Hassan kepada hubungan antara agama amat besar. Beliau sangat menghormati agama lain dan kami juga belajar menghormati agamanya. Beliau juga contoh cemerlang warga Singapura yang sebenar – seseorang yang menghormati agama, bangsa dan bahasa lain.”
– Encik Adrian Anthony, paderi Katolik dan jiran Habib Hassan.



“Sumbangan terbesarnya kepada pembangunan Singapura ialah usaha tidak putusputus meningkatkan persefahaman dan memupuk perpaduan dalam kalangan pemimpin pelbagai agama. Hasilnya, pemimpin ini mahu bekerjasama dengannya seiring Pertubuhan Antara Agama (IRO) untuk membimbing jemaah dan pengikut mereka memegang pandangan sederhana terhadap satu sama lain.”
– Encik Hawazi Daipi, mantan Setiausaha Parlimen Kanan yang juga Pesuruhjaya Tinggi bukan pemastautin Singapura ke Ghana.



“Habib Hassan telah berbakti dengan IRO lebih 20 tahun dan saya telah bekerja rapat dengannya. Beliau amat mementingkan kesempurnaan... namun bagi sebab yang baik. Beliau bukan sahaja baik hati kepada anggota masyarakatnya bahkan kepada masyarakat lain juga. Dan itu yang saya dapati unik dan harus digalak, khususnya di Singapura.”
– Encik Noor Mohamed Marican, Penasihat Guaman bagi Pertubuhan Antara Agama (IRO) yang juga Presiden Persatuan Peguam Muslim (AML).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >