Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Buku balik tabir kisah Covid-19 di S'pura diterbit The Straits Times

Jan 20, 2022 | 11:49 AM



SEBUAH buku baru yang diterbitkan pada Khamis (20 Januari) memberi rentetan peristiwa dua tahun pertama usaha Singapura menentang pandemik Covid-19 menerusi penceritaan detik genting di balik tabir dan wawancara eksklusif.



In This Together: Singapore's Covid-19 Story mengandungi 13 bab tulisan wartawan bilik berita The Straits Times yang bertungkus-lumus membuat liputan mengenai krisis ini. Buku ini disunting editor eksekutif, Cik Sumiko Tan.



Penulis buku ini mewawancara lebih 300 orang termasuk Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, Presiden Halimah Yacob, menteri Kabinet, pegawai pemerintah, pemimpin korporat, pekerja barisan depan, sukarelawan, pekerja asing dan mereka yang terselamat daripada penyakit ini.



Buku setebal 352 halaman terbahagi pada dua bahagian: 'Saving Lives' (Menyelamatkan Nyawa), di mana usaha pemerintah, sektor kesihatan dan masyarakat saintifik didokumentasikan; dan 'Saving Livelihoods' (Menyelamatkan Kehidupan), yang menjelaskan tentang perjuangan ekonomi selari untuk mengekalkan pekerjaan, perniagaan dan status hab Singapura.



Bab pembukaan bertajuk "It Took A Village" melakarkan bagaimana 24 pekerja jagaan kesihatan termasuk doktor, jururawat, ahli terapi dan jurukemas bekerjasama membantu kehidupan tutor pesara, Cik Irene Tan, 67 tahun, yang menghidap jangkitan Covid-19 teruk pada Mac 2020.



Bab selanjutnya, "Inside The War Room" memberi butiran terperinci bagaimana pemimpin Singapura - daripada PM Lee hingga pasukan bertindak berbilang kementerian dan Kumpulan Eksekutif Krisis Dalam Negeri, Pasukan Pertahanan Awam - menangani ujian paling kritikal yang dihadapi negara kota ini dalam tempoh melebihi satu generasi.



Petikan menarik lain dalam buku ini termasuk bagaimana Singapura mendapat pelitup dalam keadaan dunia begitu memerlukannya pada awal krisis kesihatan ini, andaian dan risiko melibatkan usaha membeli vaksin serta  usaha berterusan hospital untuk mempertingkat keupayaan dalam keadaan kakitangan yang dibebani keresahan dan tugasan menangani pergelutan itu sendiri.



Buku ini yang diterbitkan oleh Straits Times Press juga menyelongkar usaha membasmi virus di dormitori yang menjadi penginapan lebih 300,000 pekerja asing. Mereka membentuk 19 daripada 20 jangkitan pada 2020.



Di tengah-tengah bab ini pula adalah profil kakitangan barisan hadapan yang menangani pandemik, golongan penakat dan mereka yang meninggal kerana virus ini.



Menyisipkan sentuhan kemanusiaan pada keseluruhan usaha Singapura menangani Covid-19 adalah sebab asas yang dinyatakan Cik Tan dalam mengeluarkan buku ini yang diterbitkan hampir dua tahun selepas kes Covid-19 pertama di Singapura dikenal pasti pada 23 Januari 2020.



Beliau berkata buku ini bertujuan memberi sanjungan buat pekerja barisan depan - pekerja jagaan kesihatan, kakitangan awam, pekerja khidmat penting - yang kepentingan khidmatnya biasanya orang lain abaikan.



Sedang kewartawanan tidak meliputi kegiatan barisan depan seperti ujian swab atau mengurus orang ramai, Cik Tan berkata apa yang wartawan dapat lakukan adalah membentangkan rentetan peristiwa bagi generasi mendatang agar tempoh bersejarah ini tidak dilupakan.



"Kalau sesiapa membaca buku ini 20 tahun mendatang, mereka akan memahami apakah pengertian beberapa tahun awal pandemik ini dan bagaimana perasaan warga Singapura serta mengapa kita lakukan apa yang kita buat," tambahnya.



Cik Tan berkata daripada awal lagi, pasukannya jelas bahawa In This Together akan menjadi kumpulan kisah perlawanan pertama Singapura dengan virus ini dan bukannya satu penilaian.



Satu cabaran besar projek yang bermula pada Ogos 2020 itu adalah mendedahkan kesedaran bahawa pandemik ini tidak akan pergi secepatnya dalam masa terdekat, katanya.



Penerbitan buku ini sepatutnya dijadualkan pada pertengahan 2021 tetapi tertunda tiga kali dengan kisahnya perlu dikemaskinikan setiap kali.



"Penundaan ini membolehkan kita terus menceritakan kisah sepenuhnya," katanya. Tetapi keputusan perlu dibuat di mana ingin menamatkan buku itu dengan varian Omicron baru menyediakan satu lagi batu penanda.



Bilangan kes kian bertambah merata dunia tetapi jangkitan teruk dan kemasukan hospital tidak pula bertambah dengan sesetengah saintis mempercayai ia mungkin menandakan tamatnya pandemik ini.



Dalam pengenalan pada buku ini, Editor Straits Times, Encik Warren Fernandez, yang juga Ketua Editor di Kumpulan Media Inggeris, Melayu dan Tamil, SPH Media Trust, menulis: "Buku ini bukan bererti kami ingin tampilkan kejayaan atau memuji diri sendiri tetapi sebagai rekod jujur mengenai ujian paling genting yang Singapura hadapi menjangkaui satu generasi dan akan berterusan buat satu tempoh lagi sedang krisis ini jauh daripada selesai."



Editor Berita Straits Times, Cik Karamjit Kaur, yang menulis bersama satu bab tentang penerbangan, berkata buku ini adalah projek yang sukar kerana ia perlu mengambil kira keadaan virus yang berubah dan respons Singapura yang juga bertukar.



Editor Berita Bersekutu, Cik Chang Ai-Lien, yang menulis bersama satu bab mengenai hospital pula menambah: "Tugasan pada buku ini membayangi trajektori virus ini dengan banyak onak duri dan belitannya. Kisahnya jauh lagi berakhir."



Cik Kaur dan Cik Chang mengetuai pasukan bertindak bagi liputan Covid-19 di bilik berita itu.



Koresponden kesihatan, Encik Timothy Goh, yang menulis beberapa bahagian buku ini termasuk pencarian pelitup di Singapura, berkata mengusahakan buku ini memberikannya pengajaran bagaimana pandemik ini menjejas setiap orang, baik si muda atau tua, kaya atau miskin, menteri atau pekerja migran.



"Saya juga menyaksikan sisi kemanusiaan dan peribadi pada pegawai yang kita lihat di media. Melihat wajah mereka yang penat dan mendengar pelbagai rasa sangsi yang disembunyikan hingga hari ini mengingatkan saya walau apa pun situasi kita dalam kehidupan bagi dua tahun lalu, kita juga hanyalah manusia yang cuba memikirkan cara mengharungi krisis ini bersama," ujarnya.



Buku ini disokong Kementerian Perhubungan dan Penerangan dalam bentuk pembelian buku. Pihak kementerian juga mengatur beberapa wawancara tetapi menyerahkan corak buku dan penceritaannya kepada pasukan penulis.



In This Together: Singapore’s Covid-19 Story yang berharga $28 (dengan GST) boleh dibeli di kedai buku utama dan dalam talian laman Straits Times Press (stbooks.sg).



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >