Buku baru teroka sejarah Sungai Kallang

LAZIMNYA, ramai akan mengaitkan Singapura dengan Sungai Singapura.

Namun sejarah negara ini sebenarnya juga banyak terkait dengan Sungai Kallang, sungai terpanjang di Singapura.

Malah Sungai Kallang yang mengalir sepanjang 10 kilometer itu, merupakan nadi utama bagi penakatan Singapura sejak abad ke-14, kata Dr Yaacob Ibrahim, Anggota Parlimen GRC Jalan Besar. 

Dr Yaacob, yang juga penasihat Pertubuhan Akar Umbi Kolam Ayer, telah melancarkan buku dan pameran yang merakam sejarah Sunggai Kallang, di Bangunan Perpustakaan Negara, hari ini. 

Buku dan pameran bertajuk 'Our home by the Kallang River - Past, Present and Future', merupakan sebahagian daripada projek kelolaan Kolam Ayer sempena menyambut bicentenial. 

Bercakap semasa majlis pelancaran itu, Dr Yaacob berkata Sunggai Kallang, yang menghubungkan bahagian selatan dengan utara Singapura, memainkan peranan penting kerana merentasi banyak kawasan dan estet perumahan sejak sekitar 700 tahun. 

“Ia kaya dengan sejarah yang penting untuk kita renungkan, bukan hanya untuk mengingat kembali zaman lampau tetapi memberi pendorong untuk kita melangkah ke depan. 

“Dan sebagaimana kita tahu, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) memiliki rancangan menyegarkan sekitar kawasan Sunggai Kallang dan kami menyokongnya kerana ia bukan hanya menghidupkan tetapi juga merancakkan seluruh estet Kolam Ayer dan estet yang berdekatan.
“Ini bukan hanya untuk kita sekarang tetapi bagi generasi mendatang agar sentiasa ingat peranan penting sungai ini,” ujar beliau.