Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BULAN BAHASA: MERAI 32 TAHUN MENGGALAK BAHASA MELAYU

Program Bulan Bahasa di alam maya

Program melalui wadah Zoom dan media sosial seperti Facebook
Jul 30, 2020 | 05:30 AM



BULAN Bahasa akan dibawa ke dalam talian tahun ini bagi membolehkan orang ramai dapat terus melestarikan dan menyemai cinta kepada bahasa Melayu, walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19 yang buat masa ini masih tidak membenarkan acara besar-besaran diadakan demi mengelakkan berlakunya kelompok jangkitan besar.



Kempen tahun ini, yang membawa tema Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita dan akan berlangsung dari 15 Ogos hingga 11 Oktober, bakal memuatkan program yang dijalankan menggunakan wadah seperti Zoom dan media sosial seperti Facebook.



Majlis pelancaran pada 5 September pula akan disiarkan di televisyen melalui saluran Suria mulai 8.30 malam, berbeza dengan tahun sudah di mana ia diadakan dalam bentuk acara besar lagi gah dengan pelbagai persembahan dan kegiatan.



Dalam sidang media maya semalam, pengerusi jawatankuasa Bulan Bahasa Cik Rahayu Mahzam berkata sedang majlis pelancaran itu diadakan dalam suasana yang jauh berbeza berbanding tahun-tahun sudah, ia berpotensi menarik perhatian golongan yang mungkin tidak berpeluang hadir ke acara sedemikian sebelum ini.



"Dalam masa-masa begini, kita tidak dapat melakukan aktiviti seperti biasa dan ini sebenarnya ada hikmah kerana cabaran ini memaksa kita agar memikirkan cara kreatif dan baru untuk mempersembahkan acara Bulan Bahasa.



"Saya amat berterima kasih kepada ahli jawatankuasa Bulan Bahasa yang telah berusaha keras untuk cuba terus mengadakan aktiviti Bulan Bahasa walaupun dalam keadaan sebegini. Kerana apabila kita mula merancang, masih belum jelas keadaan jadi kita tidak tahu boleh ke tidak berkumpul, boleh ke tidak kita lakukan. Tetapi kita tetap komited untuk memastikan acara ini dapat berlangsung," ujar Cik Rahayu.



Menyentuh tentang majlis pelancaran tahun ini, Cik Rahayu berkata ia akan terus diadakan, walaupun dalam bentuk program yang telah dirakam terlebih dahulu, demi terus "menjangkau kepada segenap masyarakat dan lebih ramai orang, jadi kita tetap dapat mencapai objektif itu".



"Mungkin ia akan membawa kelainan, mencetus inspirasi juga dalam kalangan masyarakat kita dan mungkin menjangkau kepada mereka yang dahulunya tak hadir ke majlis acara kita.



"Mungkin kali ini mereka lihat di televisyen seronok juga sesuatu yang berbeza, sesuatu yang menarik. Dapat kita membesarkan lagi ruang masyarakat yang berminat dengan bahasa dan pada masa akan datang dapat melibatkan mereka dalam acara fizikal," tambah Cik Rahayu.



Beliau turut meluahkan penghargaan kepada rakan-rakan kerja yang telah bekerjasama dan sudi menyahut cabaran menggunakan wadah digital dalam mengendalikan kegiatan untuk masyarakat.



Antara kegiatan yang akan ditawarkan ialah 'Kreatif Bahasa Bersama...' anjuran Elements Pictures melalui wadah Zoom.



Dalam bengkel itu, ibu bapa dan anak-anak akan melukis masakan Melayu pilihan mereka serta bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan masakan tersebut.



Satu lagi acara ialah Pertandingan Busking (Seniman Jalanan) oleh Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Braddell Heights yang merupakan pertandingan maya di mana peserta dikehendaki mempersembahkan lagu bahasa Melayu ciptaan sendiri. Kumpulan dengan ciptaan dan persembahan terbaik akan memenangi piala.



Tiga lagi Duta Bahasa turut dilantik di sidang media semalam, iaitu pakar geriatrik di Hospital Raffles, Dr Nur Farhan Alami; Zamil Kanan di Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat; dan pengarah urusan syarikat ScreenBox Pte Ltd, Encik Sujimy Mohamad.



Individu-individu itu dipilih berdasarkan penguasaan dan minat mereka terhadap bahasa Melayu dan pelibatan mereka dalam masyarakat.



Sementara itu, identiti kreatif bagi kempen tahun ini mengambil inspirasi daripada visual tahun lalu yang menampilkan lukisan palari (kapal laut orang Bugis), kancil, singa, roket dan gitar bagi melambangkan cita-cita serta aspirasi berbeza masyakakat.



Lima lukisan itu disusun dalam corak songket, yang kesenian serta tenunannya melambangkan keinginan dan keperibadian masyarakat Melayu yang kukuh.



Songket turut melambangkan perjalanan masyarakat dalam mencorak identiti bahasa yang tersendiri.




"Dalam masa-masa begini, kita tidak dapat melakukan aktiviti seperti biasa dan ini sebenarnya ada hikmah kerana cabaran ini memaksa kita agar memikirkan cara kreatif dan baru untuk mempersembahkan acara Bulan Bahasa... Mungkin ia akan membawa kelainan, mencetus inspirasi juga dalam kalangan masyarakat kita dan mungkin menjangkau kepada mereka yang dahulunya tak hadir ke majlis acara kita."
- Pengerusi jawatankuasa Bulan Bahasa Cik Rahayu Mahzam.




Bulan Bahasa 2020



  • Tema: Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita

  • Berlangsung dari: 15 Ogos hingga 11 Oktober

  • Majlis pelancaran: 5 September, 8.30 malam di saluran Mediacorp Suria

  • Kegiatan akan dijalankan dalam talian

  • Tonton video yang diterbitkan Rakan Bahasa di laman tinyurl.com/RB2020pl




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >