Bulan purnama 14 Nov paling besar dalam hampir 70 tahun: Saintis

BULAN purnama pada 14 November ini akan merupakan yang terbesar sejak 1948, kata para saintis.

Ia juga akan menjadi bulan paling dekat dan paling terang tahun ini (2016), kata profesor astronomi Robert Berman kepada Space.com.

Pada tarikh itu, bulan purnama, atau penuh, akan berada paling hampir dengan Bumi sejauh ini dalam abad ke-21, kata agensi angkasa lepas Amerika Syarikat, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa).

Ini menjadikan ia sebuah 'bulan maha' (supermoon), iaitu "bulan baru atau purnama yang berlaku apabila bulan berada pada atau hampir (sekurang-kurangnya 90 peratus daripadanya) paling dekat dengan Bumi dalam orbit tertentu", menurut ahli ilmu bintang profesional terkenal Amerika, Encik Richard Nolle, yang mencipta istilah itu pada 1979.

Nasa menjelaskan bulan maha merujuk pada keadaan apabila bulan purnama lebih hampir dengan Bumi daripada biasa sedang ia mengorbit Bumi.

Semasa bulan maha, bulan berada kira-kira 360,000km dari Bumi.

Bulan penuh tidak akan berada sedekat itu dengan Bumi selama hampir 20 tahun lagi, iaitu hingga 25 Nov 2034.

Ia satu pemandangan luar biasa - bulan maha boleh kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih terang daripada bulan penuh apogi (bulan penuh berada pada kedudukan paling jauh dari Bumi pada orbitnya).

Walaupun dua bulan maha berlaku pada akhir 2016 - dua lagi pada 16 Okt dan 14 Dec - bulan maha pada 14 Nov lebih terang dan lebih besar.

Namun, perbezaan antara melihat bulan maha dan bulan penuh biasa bergantung di mana anda melihatnya.

Jika bulan itu terletak tinggi di atas kaki langit dari perspektif anda dan tiada bangunan untuk anda membandingkannya, ia mungkin tidak kelihatan lebih besar daripada biasa.

Sebaliknya, ia boleh kelihatan luar biasa besar dan lebih dekat dengan ufuk apabila dilihat melalui pokok, bangunan atau objek lain di depan.

Walaupun ini hanya satu ilusi optik, Nasa berkata pemandangannya tetap menakjubkan.

Menurut laman web ScienceAlert, untuk melihat bulan maha 14 Nov dengan paling baik, anda harus pergi ke tempat yang jauh daripada lampu bandar.

Bulan maha 14 Nov dijangka berada pada saiz terbesar mutlaknya pada 1.52 petang GMT (9.52 malam waktu Singapura).

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:08
Asar
4:33
Maghrib
7:12
Isyak
8:28
3 HR PSI: 34
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.