Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bulan rangsang penggunaan sepanjang tahun

Kegiatan sepanjang Bulan Bahasa diharap wujudkan usaha melestarikan bahasa Melayu
Sep 10, 2017 | 05:30 AM



PERANAN Bulan Bahasa seakanakan Ramadan dan Hari Raya.



Memberi analogi itu, Pengerusi Bulan Bahasa, Cik Rahayu Mahzam, berkata bulan puasa dilihat sebagai latihan bagi amalan yang perlu dilakukan sepanjang tahun dan Hari Raya sebagai merayakannya.



"Saya harap Bulan Bahasa seperti itu juga - sebagai merayakan kemuncak kegiatan Bulan Bahasa tetapi penggunaan bahasa Melayu dapat kita hidupkan dalam aktiviti harian sepanjang tahun," kata beliau.



Menurutnya, Bulan Bahasa sudah sampai peringkat menjadi satu jenama dan orang ramai mengharapkan satu kelainan setiap tahun. Ini menjadi antara cabaran - memikirkan pembaharuan atau program menarik.



"Fokus kami adalah menambah inti pati, memperkuat mesej dan memastikan ada kemampanan - bukan sekadar sambutan tetapi boleh dipraktikkan di luar bulan bahasa," kata beliau mengenai keberkesanan Bulan Bahasa.



Beliau berkata Bulan Bahasa, yang bermula pada 1988, telah banyak berubah - daripada acara dua tahun sekali kepada setiap tahun; daripada menyasar kepada pencinta bahasa, kepada masyarakat umum; dan daripada memupuk kesedaran kepada penglibatan masyarakat, dan kini ia menjadi acara besar.



"Peningkatannya bertahap.



"Kami adakan program rakan bahasa bagi memperbaiki dan memperkuatkan aktiviti bahasa.



"Tahun ini, fokusnya ialah pada keberkesanan aktiviti Bulan Bahasa; membina usaha sama dengan masyarakat. Kami tidak lakukan sendiri. Daripada dulu kami dapatkan input dan saranan daripada rakan kongsi," kata beliau.



Cik Rahayu akur adalah sukar mengukur keberkesanan kempen itu. Jika mahukan data, ia perlukan bantuan akademik memikirkan struktur bagaimana meninjau penggunaan bahasa Melayu dan mengukur keberkesanan Bulan Bahasa. Ini sedang ditimbangkan oleh Majlis Bahasa Melayu.



Namun berdasarkan maklum balas menerusi kegiatan yang kini semakin dikembangkan ke estet perumahan, sambutan dan penyertaan amat menggalakkan.



Beliau memberi contoh program 'Juara si cilik', yang melibatkan anak dan ibu bapa mereka menggunakan bahasa Melayu, yang mendapat sambutan.



Cik Rahayu menjelaskan bahawa landasan Bulan Bahasa masih sama iaitu bahasa ilmu, budaya dan mesra.



Kegiatannya pelbagai bagi menjangkau pelbagai golongan. Ada yang perlukan ruang dan berlatih menggunakan bahasa Melayu kerana sudah terbiasa dengan bahasa Inggeris; ada yang perlu terus dipupuk mengenai kepentingan dan kerelevanan bahasa Melayu; dan ada yang sudah biasa gunakan bahasa Melayu dan mahukan peningkatan.



"Kami perlu pastikan ada aktiviti yang menjadi landasan bagi mereka mempraktikkan penggunaan bahasa Melayu.



"Cabarannya adalah mencari keseimbangan dan menampilkan kelainan.



"Setiap tahun kami perlu seimbangkan adanya ruang dan kegiatan untuk pelbagai golongan - ahli bahasa yang mahu meraikan kekayaan bahasa Melayu (dengan kegiatan yang sesuai pada peringkat mereka); dan masyarakat umum yang menggunakan bahasa Melayu biasa secara harian.



"Ini di samping cabaran yang dihadapi oleh semua bahasa kedua - mencari kesesuaian dan ruang penggunaan bersaing dengan kedwibahasaan - kerana ia terikat dengan identiti dan warisan.



"Maka itu kerjasama dengan rakan kongsi - sekolah, golongan ahli bahasa, kumpulan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), ahli akademi dan sebagainya - supaya dapat mengatur pelbagai acara dan program bagi menghasilkan keseimbangan itu," jelasnya.



Secara am, beliau berkata penggunaan bahasa Melayu tiada masalah.



Namun penggunaan rasmi seperti dalam majlis, interviu dan penulisan menggunakan tatabahasa yang baik boleh diperkuat.



Beliau berkata keadaan, termasuk penggunaan bahasa, sudah berubah. Menurutnya, di Barat pesta bahasa menerima pendekatan baru seperti penerimaan bahasa dalam muzik rap.



"Kita juga mungkin perlu terima cara baru.



"Namun, kita juga harus terus mengadakan acara seperti bahas, menghidupkan peraduan syarahan dan petah bercakap yang akan menambah seri penggunaan bahasa Melayu," ujarnya.



Kegiatan Bulan Bahasa berlangsung dalam tiga bulan - Ogos, September dan Oktober. Antara kegiatan yang sudah dijalankan ialah pelancaran buku dan pelbagai acara kemasyarakatan.



Menurut Cik Rahayu, terdapat lebih 100 program diatur dan sambutannya cukup meriah dan memberangsangkan.



"Saya harap ia memberi makna dan kesan lebih mendalam kepada masyarakat.



"Saya dapat rasakan keghairahannya. Saya harap ia mencerminkan keingingan mereka mahu melestarikan dan menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan harian mereka," ujar beliau.




"Saya harap ia memberi makna dan kesan lebih mendalam kepada masyarakat. Saya dapat rasakan keghairahannya. Saya harap ia mencerminkan keinginan mereka untuk melestarikan dan menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan harian mereka."
- Cik Rahayu Mahzam, Pengerusi Bulan Bahasa.




Saksikan wawancara dengan Rahayu Mahzam dI BH.sg




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >