Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Burung hijrah masih kekal di S'pura, gagal terbang

Jan 05, 2022 | 05:30 AM



SEEKOR burung dikenali sebagai hering hitam atau 'Cinereous Vulture' yang ditemui berdekatan Kebun Bunga Singapura terus berada di Singapura setelah ia gagal terbang semalam walaupun sudah dinilai cukup kuat untuk melakukan demikian.



Burung jenis berhijrah yang jarang ditemui itu - ia burung hering terbesar di Eropah, Asia dan Afrika yang dilihat buat pertama kali di Singapura - telah dimasukkan ke hospital burung Taman Burung Jurong sejak Khamis lalu.



Burung tersebut terus berada di darat pagi semalam meskipun kakitangan Kumpulan Kehidupan Liar Mandai dan Lembaga Taman Negara (NParks) cuba merangsangnya untuk bergerak.



Setelah kira-kira 30 minit, burung itu dibawa pergi untuk pemulihan lanjut.



Timbalan naib presiden bagi pemuliharaan, penyelidikan dan veterinar Kumpulan Kehidupan Liar Mandai, Dr Xie Shangzhe, memberitahu akhbar The Straits Times bahawa tiada perkara luar biasa atau kecederaan dikesan apabila burung itu pertama kali diperiksa oleh pasukan doktor haiwan burung Taman Burung Jurong.



Mereka telah menjalankan X-ray, kiraan sel darah dan ujian fungsi organ ke atasnya.



Dr Xie berkata burung besar itu kemungkinan keletihan - cabaran biasa bagi burung yang berhijrah - kerana terbang jauh dan perlu menambah tenaganya.



Ribuan burung seperti hering berhijrah ke kawasan lebih panas untuk mengelakkan musim sejuk sewaktu musim berhijrah tahunan yang berlaku antara September dengan Mac.



Pengarah kumpulan pengurusan ke hidupan liar NParks, Encik Adrian Loo, berkata Singapura merupakan persinggahan penting bagi burung-burung ini kerana ia sebahagian daripada Laluan Terbang Asia Timur-Australasia.



Laluan penghijrahan ini bermula dari kawasan Artik ke Russia dan Alaska hingga Australia dan New Zealand, merangkumi 22 negara, dan Laluan Terbang Asia Tengah yang merangkumi Himalaya di mana hering hitam boleh ditemui.



Spesies berjelaga atau berselaput debu hitam itu, yang berasal dari Eropah dan Asia Utara, berada di Asia Tenggara, kata Dr Loo. Ini bermakna burung itu telah melencong dari laluannya.



Ia biasanya menghabiskan masa sewaktu musim sejuk di utara India, Timur Tengah dan kadangkala Korea Selatan, tambahnya.



Dari tahun ke tahun hospital Taman Burung Jurong dianggarkan menerima 200 ekor burung yang diselamatkan yang terdiri daripada kedua-dua spesies asli dan berhijrah, kata Dr Xie.



Menurut Dr Xie, burung berhijrah tidak biasa ditemui di hospital burung Singapura, dan menambah bahawa kebanyakan burung ini dirawat kerana keletihan atau kecederaan teruk.



Seboleh-bolehnya, ia akan dilepaskan kembali ke habitat semula jadinya, biasanya dalam tempoh sehari jika ia sihat, katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >