Subuh
5:54
Syuruk
7:15
Zuhur
1:18
Asar
4:40
Maghrib
7:19
Isyak
8:32
Setempat0

Cabaran Era Dance Theatre anjur Festival Muara secara dalam talian

Jan 14, 2021 | 05:30 AM

TIDAK semudah yang disangka.

Itulah pengakuan terus terang Encik Azrin Abdul Rahim, pengarah eksekutif Era Dance Theatre Pte Ltd, dalam menggambarkan perjalanannya menyesuaikan diri melakukan program dalam talian berbanding sebuah acara secara fizikal.

Acara yang beliau maksudkan ialah pementasan Festival Muara - yang dianjurkan untuk kali ke-10 tahun lalu - sebagai acara dalam talian sepenuhnya buat julung-julung kali.

Encik Azrin berkata ia merupakan pengalaman belajar yang hebat bagi beliau memastikan bahawa mutu pementasan tersebut dapat dipelihara dengan ianya diadakan pada wadah yang berbeza.

Ini lebih-lebih lagi dengan sumber kewangan yang terhad ketika itu.

Justeru, sokongan Dana Mempertahankan Kesenian (stART) datang pada waktu yang tepat sedang Era Dance Theatre seperti kumpulan seni persembahan kecil yang lain di seluruh negara, berdepan dengan masalah kewangan ekoran sekatan Covid-19.

"Kecekapan teras kami adalah dalam menari, merancang untuk persembahan dan menganjurkan produksi secara fizikal.

"Ketika kami perlu mengalih ke wadah digital, ia merupakan sesuatu yang baru bagi kami. Memang kita pernah menggunakan wadah digital seperti laman media sosial untuk memuat naik beberapa gambar atau video tetapi itu pu, dengan menggunakan kamera telefon sahaja.

"Skalanya untuk mengalih sebuah pesta ke dalam talian amat berbeza dan kami perlu memikirkan lebih banyak aspek," katanya.

Meskipun tidak dapat menganjurkannya secara fizikal, Encik Azrin menjelaskan ia masih penting baginya untuk meneruskan tradisi pesta tersebut iaitu membawa seni dekat dengan masyarakat.

Cabaran yang dihadapinya itu membuahkan hasil - lebih daripada yang dijangka.

Encik Azrin berkata beliau bukan sahaja dapat menganjurkan Festival dalam talian dengan lancar, malah turut berjaya menarik lebih ramai orang termasuk penonton luar negara.

Pada 2019, acara Muara yang diadakan di Esplanade telah menarik seramai 18,000 orang.

Namun, dengan menggunakan wadah digital, jumlah tontonan keseluruhan mereka mencatat seramai 39,000 sepanjang pesta tiga hari itu.

Ini termasuk penonton daripada Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Sementara itu, cabaran Covid-19 tidak dijangka reda dalam masa terdekat, Encik Azrin berkata beliau berazam untuk terus berkongsi keindahan budaya kita melalui seni persembahan.

"Tahun ini, saya jangkakan kami akan juga menganjurkan pesta ini dalam talian.

"Tetapi saya masih positif kerana walaupun kami tidak dapat berjumpa secara fizikal, kami masih dapat terus mempertemukan ramai orang dan berkolaborasi bersama dalam talian," ujarnya.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map