Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Cabaran 'sekecil nyamuk hingga seluas iklim dunia'

Oktober tahun lalu, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad dilantik Menteri Sekitaran dan Sumber Air, kali pertama beliau menerajui sebuah kementerian sebagai menteri penuh. Hanya beberapa bulan sebelum itu, beliau dinaik pangkat kepada menteri penuh pada April - kali pertama negara ini mempunyai dua menteri Melayu sejak Singapura berpemerintahan sendiri pada 1959. Ikuti wawancara NAZRI HADI SAPARIN (mhadi@sph.com.sg) dan NUR ADILAH MAHBOB (adilaham@sph.com.sg) mengenai tahun pertama Encik Masagos menyandang jawatan itu.
Nov 06, 2016 | 05:30 AM



DALAM tahun pertamanya sebagai Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad perlu mengatasi masalah 'sekecil' nyamuk dan 'sebesar' perubahan iklim dunia.



Namun, baginya cabaran yang paling genting bagi masa depan Singapura ialah bekalan air.



Khususnya, apa yang beliau bimbangkan ialah paras air di Kolam Linggiu di Johor yang membantu membekalkan sekitar separuh daripada keperluan air di Singapura.



"Waktu saya masuk kementerian ini dulu, parasnya sudah turun daripada 65 peratus kepada 35 peratus. Dan kini ia mencecah 21 peratus.



"Kita memerlukan hujan yang lebat sebelum ia boleh mencapai paras 80 peratus seperti dahulu," ujarnya.



Encik Masagos berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif dengan Berita Minggu di bangunan pejabatnya di Scotts Road - setahun selepas beliau dilantik menerajui kementerian pertamanya pada Oktober tahun lalu.



Mengenai usaha membasmi denggi dan Zika, Encik Masagos menarik perhatian kajian yang sedang dilakukan di beberapa tempat di Singapura untuk mengatasi populasi nyamuk Aedes yang membawa beberapa penyakit.



Kajian itu melibatkan nyamuk jantan yang dijangkiti bakteria Wolbachia. Apabila nyamuk ini mengawan dengan nyamuk betina yang tidak dijangkiti, telur yang terhasil tidak akan menetas.



Encik Masagos menganggarkan kajian itu akan mengambil masa tiga atau empat tahun lagi sebelum kaedah itu boleh diperluas jika didapati berkesan mengurangkan populasi nyamuk.



Bagaimanapun, warga Singapura perlu terus berwaspada terhadap penyakit denggi dan Zika.



Sementara itu, beberapa kemajuan pula dicatat dalam tahun pertamanya dalam usaha menangani perubahan iklim.



Sekarang ini, Singapura sudah pun memeterai tiga perjanjian besar dalam hal ini - Perjanjian Paris untuk mengurangkan pengeluaran karbon dioksida, perjanjian untuk mengurangkan gas hidrofluorokarbon, serta perjanjian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk mengurangkan pencemaran daripada penerbangan.



Pelbagai perjanjian ini menunjukkan komitmen Singapura menyertai usaha global mengekang perubahan iklim, kata Encik Masagos.



Berhubung jerebu, beliau berkata beberapa tindakan telah diambil terhadap syarikat yang bertanggungjawab menyumbang kepada kebakaran hutan di negara jiran.



Ini termasuk memboikot produk syarikat tersebut di pasar raya, memerlukan syarikat yang disenarai di Bursa Singapura (SGX) mengeluarkan laporan kemampanan, serta mengambil tindakan undang-undang terhadap firma yang bertanggungjawab.



Encik Masagos mencipta sejarah apabila dinaik pangkat kepada menteri penuh April tahun lalu.



Ini merupakan julung-julung kalinya, sejak Singapura berpemerintahan sendiri pada 1959, terdapat dua menteri Melayu di persada politik nasional.



Pada Oktober tahun lalu pula, Encik Masagos dilantik menerajui kementerian pertamanya di Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR), sambil membantu Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, yang juga Menteri Perhubungan dan Penerangan, dalam hal berkaitan masyarakat Islam.



Dalam wawancara itu, Encik Masagos turut mengulas cabaran yang dihadapi masyarakat dari segi perubahan ekonomi dan usaha menangani perbezaan dalam masyarakat.



MENGENAI PERUBAHAN IKLIM



"Perubahan iklim ialah satu hal yang sangat penting bagi semua negara. Tindakan yang perlu kita lakukan dari sekarang hingga 2030 akan memberi kesan, apakah iklim dunia ini akan berubah hingga menjejas keberadaan semua, atau kita akan meninggalkan bumi yang lebih baik bagi anak kita nanti?"



MENGENAI BEKALAN AIR



"Sebenarnya kalau kita lihat, masalah yang paling genting ialah masalah air. Perubahan iklim menyebabkan hujan turun deras dalam waktu singkat hingga kita tidak dapat menakung air yang turun dengan deras itu. Tahun demi tahun, kita lihat hujan juga semakin berkurangan."




SEKILAS KERJAYA ENCIK MASAGOS



Usia: 53 tahun



Jawatan: Menteri Sekitaran dan Sumber Air



Lulusan: Universiti Nasional Singapura (NUS)



KERJAYA SEBELUM POLITIK



1988-2006: Bertugas di Singtel dan pernah menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif SingTel Global Offices



JAWATAN DALAM POLITIK



2006-2008: Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan (MOE)



2008-2010: Setiausaha Parlimen Kanan MOE dan Ehwal Dalam Negeri (MHA)



2010-2011: Menteri Negara (MOE dan MHA)



2011-2012: Menteri Negara Ehwal Luar (MFA) dan MHA



2012-2015: Menteri Negara Kanan MFA dan MHA



April-September 2015: Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua MHA dan MFA



Oktober 2015 hingga sekarang: Menteri Sekitaran dan Sumber Air




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >