SEORANG pemandu kereta sewa privet yang mencabul kehormatan empat penumpang wanita telah dihukum penjara lima tahun 10 bulan dan enam sebatan pada Rabu (23 Dis).
Muhammad Hafiz Maksah, 27 tahun, yang menawarkan khidmat kereta sewa privet menerusi platform tidak dikawal undang-undang seperti Ride Kakis dan SG Hitch menggunakan Telegram untuk mencari mangsa.
Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan mencabul kehormatan tiga wanita secara berasingan, sementara lagi satu tuduhan melibatkan mangsa keempat dan satu tuduhan ugutan jenayah dipertimbangkan semasa hakim menjatuhkan hukuman, lapor The Straits Times.
Mahkamah diberitahu Hafiz membawa penumpangnya ke kawasan terpencil sebelum cuba mencabul kehormatan mereka.
Dalam satu insiden, Hafiz - yang tidak lagi memandu kereta sewa-privet - telah mengambil salah seorang mangsanya, seorang wanita, 20 tahun di Jurong pada 7 pagi, 12 Oktober tahun lalu.
Dia tidak membawa wanita itu ke Clementi seperti yang ditetapkan, tetapi membawanya ke sebuah tempat letak kereta berbilang tingkat di Jurong West Street 42 untuk berjumpa seorang teman.
Wanita itu, yang pada mulanya bersetuju menemani Hafiz, cuba melarikan diri selepas Hafiz cuba menciumnya.