YAYASAN Changi - cabang filantropi Changi Airport Group (CAG) - dan lebih 30 rakan kongsi lapangan terbang dari sektor runcit, kejuruteraan dan binaan telah menderma 1,380 penumpu oksigen kepada Indonesia untuk membantunya menentang Covid-19.
Kakitangan Lapangan Terbang Changi juga memberikan sumbangan.
Bekalan pertama penumpu oksigen itu dihantar semalam.
Syarikat penerbangan kargo Cargolux dan Singapore Airlines, serta syarikat logistik Sats dan CEVA Logistics, menguruskan bekalan penumpu oksigen dari Los Angeles ke Singapura sebelum dihantar ke Jakarta.
Dalam kenyataannya semalam, CAG berkata ia telah bekerjasama rapat dengan kedutaan Indonesia di Singapura untuk menguruskan derma itu.
"Kementerian Kesihatan Indonesia akan menghantar penumpu oksigen itu ke hospital-hospital di negara itu, memberikan bantuan kepada pesakit Covid-19. Penumpu oksigen berguna bagi pesakit Covid-19 yang mengalami kekurangan oksigen, yang menyebabkan tekanan pernafasan.
"Mesin mudah alih ini boleh digunakan selama beberapa jam tanpa diganti atau diperbaharui," kata kenyataan itu.
Indonesia sedang bergelut dengan bilangan kes Covid-19 yang melonjak sejak Jun disebabkan varian Delta yang mudah berjangkit. Bilangan jangkitan yang meningkat ini telah menambah tekanan ke atas sistem jagaan kesihatan negara itu dan menyebabkan bekalan oksigen yang diguanakan bagi perubatan berkurangan.
Negara itu melaporkan 17,384 kes Covid-19 baru dan 1,245 kematian pada Isnin lalu.