Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAMBUTAN DEEPAVALI

Cahaya kegembiraan keluarga 4-generasi sambut Deepavali

Oct 27, 2019 | 05:30 AM



SUDAH menjadi adat bagi keluarga seramai 50 anggota ini berkumpul untuk meraikan Deepavali di flat tiga bilik yang serba-serbi sederhana keadaannya.



Keluarga empat generasi ini menyambut perayaan Singapura seperti Deepavali, Hari Ibu, Hari Kebangsaan dan Hari Natal di rumah Cik Nadeson Pillai Muthulaxmy, 96 tahun, di Henderson Road.



Pernah menjadi pengasuh bayi sebelum bersara kira-kira 10 tahun lalu, beliau menjadi tumpuan 10 orang anaknya, 24 cucu dan 23 cicit setiap kali pertemuan keluarga berlangsung.



Sebahagian besar umurnya, beliau mencurah bakti sebagai pengasuh bayi. Di kawasan perumahan Bukit Merah, beliau dikenali sebagai penyedia khidmat bagi ibu-ibu yang baru bersalin dan menjalani pantang, dengan tugasannya termasuk memandikan bayi, bahkan ibunya sekali. Bilangan bayi yang telah diasuhnya sudah tidak terkira jumlahnya dan beliau memberikan khidmat itu ke serata Singapura.



Sehingga kira-kira tiga tahun lalu, Cik Muthulaxmy, yang menetap bersama lapan orang anaknya di Henderson Road, gigih menyiapkan juadah Deepavali untuk keluarganya.



Masakan kegemaran keluarga dari air tangannya ialah beriani.



"Apa saja makanan yang mak masak untuk kami biasanya lazat dan menyelerakan sehingga kami sukar menandingi kebolehannya.



"Beriani ikan, ayam dan kambing yang mak siapkan adalah yang paling kami gemari dan inilah makanan yang paling beliau gemar siapkan pada hari-hari istimewa," kongsi anak perempuannya, Cik Anjalai Devi, 67 tahun.



"Dulu, sebelum insiden mak jatuh, mak seorang diri masih kuat siapkan bermacam manisan untuk Deepavali," tambah beliau.



"Mak akan siapkan muruku, bebola ghee, kuih tart dan bermacam biskut selain memasak untuk semua orang.



"Kini mak tak boleh lakukan itu semua dan kami terpaksa membeli saja di kedai," ujarnya.



Cucu Cik Muthulaxmy, Anil Shah, 17 tahun, memberitahu, walaupun neneknya kini sukar bercakap, beliau tetap ceria, aktif dan kelihatan seronok dikelilingi anggota keluarga.



"Sebab itulah kami datang berkumpul beramai-ramai pada hari istimewa ini untuk bertemu dan membuat nenek gembira," ujar si cucu.



Nenek juga seorang penari, kata Anil Shah.



"Bahkan dalam keadaan sekarang pun, jika sesiapa menyuruhnya menari, nenek akan menggoyangkan badan mengikut rentak muzik," ujarnya.



"Kegembiraan yang dipancarkan nenek membawa erti besar dan kami belajar untuk menghargai betapa kami selama ini telah diberikan banyak kebaikan dan kegembiraan," kata Anil Shah.



Bagi anak bongsu Cik Muthulaxmy, Cik Shantha, 52 tahuh, keluarganya amat mementingkan hubungan rapat dan mengukuhkan ikatan kekeluargaan.



"Kami pastikan anak-anak dewasa belajar nilai-nilai hidup daripada nenek mereka. Dengan cara ini, kami dapat mewariskan nilai-nilai budaya, tradisi dan pengajaran kehiduapan yang kami anggap penting untuk membentuk masa depan," kata Cik Shantha.



Seorang lagi cucu, Cik Kaladevi, 47 tahun, merasakan banyak yang boleh dipelajari daripada neneknya.



"Dia cepat mesra, sama ada nenek kenal atau tidak orang yang ditemui, nenek pasti menegurnya dengan mesra, dengan senyuman lebar dan membuatkan orang sekeliling berasa selesa.



"Deepavali kami menjadi lebih bermakna apabila kami datang ke rumahnya di sebelah pagi untuk mendapatkan restu," kata Cik Kaladevi lagi.



Semua anggota keluarga Cik Muthulaxmy akan berkumpul pada 8 pagi pada Deepavali untuk menyambut perayaan cahaya itu bersama-sama.




  • Penulis adalah wartawan akhbar Tamil Murasu.


SEKILAS MENGENAI DEEPAVALI



  • Deepavali merupakan perayaan yang disambut warga yang beragama Hindu, Sikh, Jain dan segolongan penganut agama Buddha.

  • Ia menyambut kemenangan cahaya menewaskan kegelapan, ilmu mengalahkan kejahilan dan kebaikan menundukkan keburukan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >