Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Campur tangan 'orang biasa' bantu elak wanita jadi mangsa gangguan seksual

May 03, 2022 | 05:30 AM



USAHA memperkasa wanita agar tidak menjadi mangsa keganasan atau gangguan seksual - fizikal mahupun melalui 'serangan' dalam talian- memerlukan pendekatan pelbagai serampang yang dapat mencetuskan perbincangan dan kesedaran meluas mengenai isu-isu tersebut.



Selain penguatkuasaan undang-undang yang diperkemas untuk melindungi mangsa, pendekatan itu turut merangkumi peranan 'orang biasa' di sekeliling wanita tersebut.



Ini termasuk anggota keluarga, jiran tetangga dan teman-teman yang boleh membantu melalui pelbagai cara termasuk sekadar menyediakan ruang bagi meluahkan perasaan.



Mengulas tentang isu keganasan yang dihadapi wanita dalam dan luar talian dalam podcast Berita Harian #NoTapis baru-baru ini, Setiausaha Parlimen (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam dan Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin, menekankan pentingnya 'campur tangan' orang sekeliling dalam memberikan sokongan kepada golongan tersebut.



Menurut Cik Rahayu, ancaman dalam talian yang melibatkan wanita, termasuk menyebarkan gambar lucah dan 'doxxing' iaitu perbuatan mengongsi maklumat peribadi individu dalam talian, amat membimbangkan kerana ia semakin berleluasa.



"Kita selalu sebutkan bagaimana di Singapura rata-rata selamat untuk wanita keluar malam dan sebagainya, namun ini bukan keadannya di alam maya.



"Ini kerana sekarang macam-macam orang boleh buat, terutama sekali ke atas wanita, jadi ini memerlukan pendekatan pelbagai serampang kerana pelbagai aspek yang perlu diberi perhatian," kata Cik Rahayu, yang juga menerajui bersama Perikatan Sunlight atau Sunlight Alliance for Action (AfA) yang membincangkan huraian bagi isu bahaya dalam talian.



Selain penggubalan undang-undang, aspek lain yang perlu ditumpukan termasuk menjalin kerjasama dengan wadah teknologi berbeza bagi melakarkan rangka kerja bagi mengawal masalah tersebut, tambahnya.



Pendedahan serta pendidikan tentang bahaya dalam talian serta cara terbaik untuk menanganinya jika ia berlaku sama penting dalam usaha tersebut, kata Cik Nadia.



"Kita tidak boleh hanya bersandar kepada undang-undang, 'mindset' kita juga perlu diubah kerana teknologi akan terus berubah dan pelbagai ancaman baru mungkin muncul.



"Ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk mengajar anak-anak untuk berjaga-jaga dan pada masa yang sama menjadi ruang selamat bagi mereka jika mengalami sebarang keganasan atau kejadian yang tidak diingini dalam dan di luar talian," ujarnya.



Ini kerana kanak-kanak dan belia akan hanya berkongsi apa yang berlaku jika mereka tahu tidak akan dimarahi, tambah Cik Nadia.



Kededuanya juga telah menyentuh tentang beberapa isu lain yang menjejas wanita dan telah diketengahkan dalam Kertas Putih bagi Pembangunan Wanita Singapura yang dilakarkan baru-baru ini termasuk isu pekerjaan dan peranan wanita dan lelaki.



Cik Rahayu berkata selain petanda kuantitatif yang jelas memaparkan keberkesanan pelan-pelan tindakan tersebut, seperti statistik jumlah wanita dalam lembaga yang semakin meningkat, petanda kualitatif juga perlu diamati.



Katanya: "Kita perlu lihat sama ada dalam masyarakat adanya perubahan dalam hidup seharian, contohnya, perkongsian kerja-kerja rumah yang lebih seimbang atau norma baru yang sebelum ini tidak kedengaran.



"Jika ada perubahan sedemikian, maka ia juga petanda yang baik untuk digunakan bagi mengukur kemajuan."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >