Capai lulusan lebih tinggi di NUS daripada ibu bapa

KESERONOKAN kehidupan selaku siswazah di Universiti Nasional Singapura (NUS) membuat Cik Nur Haseena Jupri tertarik memilih universiti tersebut untuk melanjutkan pendidikannya selepas maktab rendah.

Tambahan pula, beliau ditawarkan biasiswa Seni Persembahan dan Visual NUS.

Lantas, peluang cukup baik itu tidak dilepaskan Cik Nur Haseena, 23 tahun, yang mengambil jurusan Sastera Inggeris dengan Minor dalam Pengajian Filem.

Malah, beliau turut melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti ko-kurikular termasuk menyertai Simfoni Alat Tiupan (wind symphony) dan Band Jazz.

Semasa mengikuti program pertukaran selama enam bulan di Britain pula, beliau menyertai kelab trampolin di Universiti Liverpool.

Meskipun ada di antara aktiviti tersebut tidak pernah dilakukannya, Cik Nur Haseena berkongsi bahawa beliau tetap memilih mengikutinya "hanya untuk cuba perkara baru dan keluar daripada zon selesa saya".

Kerja kemasyarakatan turut tidak dilupakan.

Pada tahun pertama dan keduanya di NUS, beliau ke Kerala, India dan Yunnan, China, untuk melakukan kerja kemasyarakatan.

Melalui pengalaman tersebut, beliau mendapat pendedahan dan peluang melihat keadaan di luar Singapura.

"Melalui (pendedahan) ini kita dapat melihat apa yang boleh kita pelajari daripada mereka, selain apa yang boleh kita sumbang kepada mereka," ujar Cik Nur Haseena.

"Kami melawat sebuah sekolah di kawasan perkampungan dan mendedahkan kepada murid di sana tentang pendidikan, tapi bukan dari segi akademik. Jadi kami mengajarkan mereka tentang sukan dan persembahan teater," jelas gadis tersebut.

Ditanya bagaimana beliau mampu membahagikan masa antara pelajaran dengan aktiviti lain, Cik Nur Haseena berkata beliau sentiasa membuat persiapan sebelum kelas, termasuk membaca bahan bacaan yang diperlukan bagi kelas tersebut.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan mendapatkan tidur yang mencukupi - lima hingga tujuh jam setiap malam.

"Tidur awal dan bangun pagi. Saya rasa itu kebiasaan yang baik dalam kehidupan, ia juga membantu mendisiplinkan anda," kongsi beliau.

Khamis depan, Cik Nur Haseena bakal menerima ijazah Sarjana Muda (Bahasa dan Sastera Inggeris) dengan Kepujian (Kecemerlangan Tertinggi) dengan Minor dalam Pengajian Filem.

Ini bermakna anak sulung tiga beradik itu bakal meneruskan 'legasi' kededua orang tuanya yang juga lulusan NUS.

Namun, Cik Nur Haseena berjaya meraih pencapaian yang lebih tinggi - beliau berjaya lulus sarjana muda dengan kepujian ( kecemerlangan tertinggi) serupa kepujian kelas pertama.

"Ibu bapa saya sangat gembira dan bangga dengan pencapaian saya. Tak tahu pula sama ada adik-adik saya rasa tertekan atau tidak!" seloroh anak muda itu sambil tersenyum.

Waktu Solat

Subuh
5:44
Syuruk
7:06
Zuhur
1:13
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
3 HR PSI: 56
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.