MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) akan mencuba satu prosedur kemasukan selamat baru bagi solat Jumaat di empat masjid pada 25 Jun.
Ini sedang zon tambahan bagi setiap sesi solat Jumaat di masjid-masjid itu dibuka, menyusuli pelonggaran sekatan dua peringkat Covid-19 yang bermula esok.
Antara lain, hingga 250 orang dibolehkan bagi solat jemaah tetapi mereka perlu menjalani ujian sebelum acara (PET).
Ujian itu tidak perlu jika bilangan jemaah tidak melebihi 50 orang, kata Kementerian Kesihatan (MOH) Khamis lalu.
Dalam satu kenyataan semalam, Muis berkata masjid sedang membuat persiapan untuk menyediakan lebih banyak ruang solat Jumaat bagi jemaah yang telah divaksin atau menjalani PET.
Ini memerlukan prosedur Daftar Masuk Safe Entry baru di masjid dan Muis akan memberi maklumat lanjut dalam beberapa minggu akan datang.
Ia akan mencuba prosedur baru itu di Masjid Al-Istighfar, Masjid Ar-Raudhah, Masjid Assyafaah dan Masjid Mujahidin.
Lebih banyak ruang di lebih banyak masjid akan dibuka dalam beberapa minggu ini jika keadaan kekal stabil, kata Muis.
"Sedang lebih ramai jemaah mendapatkan vaksin atau menyesuaikan diri dengan prosedur ujian sebelum acara, Muis berharap dapat menyediakan bilangan tempat maksimum yang dibenarkan di bawah Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) dengan selamat. Ini sejajar dengan strategi nasional Uji, Kesan dan Vaksin," kata Muis.
Buat masa ini, masjid akan terus menyediakan 50 tempat bagi solat jemaah harian, yang boleh ditempah menerusi sistem tempahan masjid dalam talian.
Maklumat lanjut tentang penyambungan kegiatan lain di masjid, seperti kelas aLIVE, akan diumum kelak, kata Muis.
MOH berkata had saiz acara bagi kegiatan tertentu akan ditambah mulai esok, tetapi bagi mengurangkan kemungkinan kelompok jangkitan besar, PET kekal sebagai langkah penting untuk memastikan acara itu boleh dijalankan dengan selamat buat hadirin.
PET merujuk kepada ujian Covid-19 yang diambil oleh individu yang mahu memasuki ruang tempat kegiatan atau acara tertentu yang sedang dijalankan.
Individu itu mesti mempunyai keputusan ujian negatif, yang diambil dalam tempoh masa tertentu, sebelum dibenarkan memasuki ruang itu atau mengambil bahagian dalam acara atau kegiatan tersebut.
Mulai 24 April, individu yang telah mengambil kedua-dua dos vaksin Covid-19 dan dua minggu telah berlalu selepas dos kedua tidak perlu melakukan PET.