Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Cara isu 377A perlu ditangani sambil pelihara institusi keluarga diteliti rapi: Shanmugam

Jul 31, 2022 | 05:30 AM



MENTERI Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, menekankan ramai rakyat Singapura mahu kedudukan masa kini berkaitan perkahwinan - antara lelaki dan wanita - terus dikekalkan.



Pada masa yang sama, hasil perbincangan meluas dengan pelbagai golongan masyarakat termasuk pemimpin agama dan akar umbi, rakyat Singapura dari pelbagai latar belakang, kumpulan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) menunjukkan ramai beranggapan hubungan seks sejenis - antara lelaki - juga tidak wajar dianggap sebagai jenayah dan dihukum penjara.



Namun begitu, ramai juga enggan pemansuhan jenayah menyebabkan sebarang perubahan besar.



"Kedudukan masa kini ialah, undang-undang mentakrifkan perkahwinan sebagai antara lelaki dan wanita. Orang ramai enggan ia diubah, dan orang ramai juga enggan sebarang perubahan kepada dasar masa kini, yang mengambil panduan daripada takrif perkahwinan itu.



"Pemerintah faham akan pandangan ini. Kami kini sedang mempertimbang bagaimana untuk mencapai keseimbangannya," katanya semasa ditemui media di Pusat Belia Humanistik Tzu Chi, di Yishun.



Penganjur Protect Singapore Townhall tidak langgar undang-undang



Menurut Encik Shanmugam, Pemerintah kini sedang menangani dua soalan; pertama, apa yang perlu dilakukan kepada Seksyen 377A; dan, kedua, cara mempertahan kedudukan perkahwinan yang sah dari segi undang-undang, agar ia tidak dicabar sepertimana berlaku bagi Seksyen 377A dalam beberapa siri kes yang berlaku.



"Perkara-perkara ini benar-benar perlu dibincangkan di Parlimen, dan diputuskan di Parlimen, dan bukan diputuskan di Mahkamah," ujarnya.



Di bawah kanun keseksaan, Seksyen 377A menetapkan seks antara lelaki sebagai satu jenayah.



Usaha giat kini sedang dijalankan, termasuk golongan LGBTQ, agar takrifan jenayah dan hukuman terhadapnya dimansuhkan.



Pada Februari tahun ini, Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 377A akan terus dikekalkan namun tidak boleh digunakan untuk mendakwa lelaki yang mengadakan seks dengan lelaki lain.



Mahkamah agung malah setuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Encik See Kee Oon, bahawa Seksyen 377A tidak melanggar Artikel 9(1) Perlembagaan Singapura, yang menyatakan, tidak ada seorang pun yang harus dinafikan kehidupannya atau kebebasan peribadinya kecuali mengikut undang-undang.



Keputusan oleh panel lima hakim itu menyusuli tindakan undang-undang yang diambil tiga lelaki yang mendakwa undang-undang itu melanggar perlembagaan.



Memberikan pandangannya tentang aduan terhadap acara Protect Singapore Townhall yang diadakan baru-baru ini, Encik Shanmugam menekankan bahawa para penganjur acara itu telah melaksanakan hak-hak mereka.



"Pink Dot menganjurkan rapat pada 18 Jun lalu. Terdapat banyak ucapan. Terdapat banyak seruan untuk bertindak. Sama juga mereka yang anjurkan Protect Singapore Townhall melaksanakan ha-hak mereka.



"Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) melihat Protect Singapore sebagai tidak melanggar undang-undang dalam menganjurkan townhall itu.



"Kami akan masuk campur sekiranya terdapat sebarang hasutan, serangan, atau penindasan sebarang kumpulan - oleh mana-mana pihak.



"Saya telah menjelaskannya. Tugas kami adalah melindungi keselamatan semua orang. Kita boleh jangkakan lebih banyak hal sedemikian, sedang kededua pihak ingin didengari," tekannya lagi.



Acara di Singapore Expo pada 23 Julai lalu dihadiri lebih 1,200 orang, bertujuan menggesa perlindungan bagi keluarga dan perkahwinan berhubung Seksyen 377A.



Dalam kenyataannya 25 Julai lalu, jurucakap MHA berkata, pihak penganjur acara itu telah memohon permit daripada polis untuk mengadakan acara tersebut.



Namun, polis telah menilai bahawa permit tidak diperlukan kerana ia acara peribadi.



Acara 'Protect Singapore Towhall' atau 'Mesyuarat Mempertahan Singapura', dianjurkan Encik Jason Wong, ahli lembaga pengarah dan bekas pengerusi pertubuhan Kristian, Focus on the Family; dan Encik Mohamed Khair Mohamed Noor, pengerusi eksekutif SuChi Success Initiatives, yang menjalankan kursus persediaan perkahwinan untuk pasangan Islam dan program latihan lain.



"Kita telah cuba dan tangani isu-isu ini dengan minda terbuka, hati terbuka. Elakkan sebarang kedudukan dan permintaan ekstrim.



"Maju ke hadapan dan cuba bersatu, huraikan perbezaan antara kita dalam cara yang tenang, demi negara ini," tambah Encik Shanmugam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >