BADAN pemerhati amalan syarikat-syarikat setempat telah menghubungi Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) untuk meneroka tindakan yang boleh diambil ke atas syarikat teknologi Huawei selepas promosi telefon bijak yang diadakannya menyebabkan kacau-bilau di beberapa kedainya di sini.
Presiden Persatuan Pengguna Singapura (Case) Lim Biow Chuan, menulis di Facebook pada Isnin (29 Julai) berkata beliau percaya iklan yang dikeluarkan Huawei mengelirukan dan melanggar undang-undang perlindungan pengguna.
“Seperti ramai pengguna lain, saya menerima iklan yang mengundang saya membeli telefon bijak Huawei Y6 Pro pada harga $54, “ kata Encik Lim, yang berkongsi beliau menganggap tawaran itu baik sebelum mendapat tahu tentang kontroversi itu.
Promosi itu, yang memotong harga Huawei Y6 Pro 2019 daripada $198 kepada $54 bagi warga Singapura dan penduduk tetap berusia lebih 50 tahun, bermula pada Jumaat lalu, dan dijadual berpanjangan sehingga Ahad.
Namun, promosi dihentikan beberapa jam selepas ia bermula, selepas 27 kedai yang menjual telefon itu kehabisan stok. Malah, ada yang kehabisan stok sebelum kedai dibuka.
Keadaan itu mencetus kemarahan kumpulan bakal pembeli yang beratur di luar kedai, termasuk di pusat beli-belah Nex. Sebahagian pula mula menunjukkan kemarahan secara agresif.
“Bagi saya, iklan Huawei itu melanggar Akta Perlindungan Pelanggan Dagang Adil (CPFTA),” kata Encik Lim, yang melahirkan harapan agar CCCS mengenakan tindakan ke atas syarikat itu.