LEBIH banyak aktiviti sekolah, termasuk aktiviti kokurikulum (CCA), akan disambung semula sedang pelajar daripada semua peringkat akan kembali ke sekolah setiap hari mulai 29 Jun.
CCA akan disambung semula secara berperingkat kerana “ia merupakan elemen penting daripada pengalaman sekolah,” kata Kementerian Pendidikan (MOE) dalam kenyataan pada Rabu (17 Jun).
MOE berkata sekolah akan cuba memulakan semula CCA yang boleh dijalankan oleh jurulatih, tenaga pengajar atau guru CCA melalui kaedah digital, termasuk tarian, pengaturcaraan komputer, seni dan robotik.
Sekolah juga boleh melakukan aktiviti yang memerlukan kehadiran fizikal tetapi dilakukan di peringkat kelas untuk mengurangkan pergaulan, katanya.
“Ini bermakna pelajar mungkin tidak mengambil bahagian dalam kegiatan pilihan CCA asal mereka, tetapi mereka akan belajar sesuatu yang baru bersama-sama sebagai sebuah kelas,” kata kementerian itu.
Bagi pendidikan jasmani, sekolah akan membenarkan aktiviti berkumpulan dan permainan melibatkan hubungan fizikal yang minimum, seperti sukan badminton, tenis meja, bola tampar dan sepak takraw.
Namun hanya lima pelajar setiap kumpulan dibenarkan mengambil bahagian dalam satu masa dengan langkah pengurusan selamat dilaksanakan.
“Ini mungkin memerlukan beberapa perubahan kreatif dalam format dan peraturan permainan,” kata MOE.