Subuh
5:53
Syuruk
7:15
Zuhur
1:17
Asar
4:40
Maghrib
7:18
Isyak
8:31
Setempat0

CDC jambatan penting kenal pasti keperluan penduduk: PM Lee

Bantu pemerintah ketahui bidang yang masyarakat tidak punya khidmat mencukupi
Nov 25, 2020 | 05:30 AM

SEBAGAI "mata dan telinga" dalam masyarakat, Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) jambatan penting antara penduduk dan pemerintah dalam membantu mengenal pasti bidang yang penduduk tidak mempunyai perkhidmatan mencukupi, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Beliau berkata hubungan peribadi yang diwujudkan CDC dengan penduduk dalam menyampaikan perkhidmatan pemerintah dengan "wajah dan sentuhan manusia" bukan membantu pemerintah memberi respons dengan pantas dan berkesan kepada penduduk pada waktu memerlukan sahaja, malah membina etos sebuah masyarakat penyayang di Singapura.

Encik Lee berkata demikian semasa berucap di acara pelantikan Majlis ke-10 CDC Central Singapore diadakan dalam talian semalam.

"Anda mata dan telinga kami dalam masyarakat, membantu kami mengenal pasti bidang yang penduduk tidak mempunyai perkhidmatan mencukupi.

"Anda juga tangan dan kaki, mengumpulkan masyarakat, sumber dan rakan, bagi melaksana program demi membantu merapatkan jurang ini.

"Dengan menyatukan masyarakat untuk menjaga golongan mudah terjejas dan memerlukan, dan berbuat baik bagi orang lain, CDC membantu memperdalam rasa tanggungjawab kita terhadap satu sama lain," ujar Encik Lee.

Dalam hal itu, beliau berkata CDC Central Singapore yang dipimpini Mayor Denise Phua, telah berjaya dengan membina teras relawan dan rakan kukuh untuk mempertingkat kehidupan penduduknya.

CDC Central Singapore telah membentukkan lebih 50 program masyarakat untuk penduduk dengan sokongan relawan, rakan dan penderma korporat seperti Far East Organization, UOB, Starhub, dan GIC.

Program itu meliputi pelbagai bidang, termasuk mempertingkat kesihatan dan kesejahteraan, mengajar kecelikan kewangan, dan menyokong pembelajaran sepanjang hayat.

Contohnya, mereka membantu menceriakan flat warga emas menerusi inisiatif Rumah Warga Emas dan mengadakan bengkel Nasihat SkillsFuture untuk penduduk.

CDC Central Singapore juga menggandakan usahanya semasa pandemik Covid-19 ini. Antaranya, mereka bekerjasama dengan CDC lain memperkenal Dana Bantuan Covid-19 Ngee Ann Kongsi-CDC bagi membantu penduduk dalam waktu sukar ini.

Ia juga memulakan Geran 'Stronger-Together' pada Mac untuk menyokong projek masyarakat yang mempertingkat kesedaran tentang langkah mengatasi Covid-19.

"Covid-19 atau tidak, kita akan sentiasa memerlukan institusi seperti CDC Central Singapore, untuk membantu menyatukan masyarakat kita dan menentukan suasana sesuai bagi membantu satu sama lain," kata Encik Lee.

Cik Phua dalam ucapannya berkata beliau dan pasukan CDC-nya yang akan memulakan penggal perkhidmatan baru akan berusaha menjadikan kehidupan lebih baik bagi penduduk di daerah mereka.

Ini termasuk dalam kesihatan jasmani, persekitaran fizikal, sosioemosi, kesejahteraan mental, jaminan kewangan dan pembelajaran sepanjang hayat.

"Sekarang, lebih daripada sebelum ini, CDC kami mesti kekal relevan dan mengambil tempat kami untuk secara aktif mengumpulkan keperluan, untuk membina keupayaan dan rangkaian, dan menghubungkan sumber ini kepada keperluan tersebut agar masyarakat akan muncul lebih kuat, bukan lemah," kata beliau.


"Anda (CDC) mata dan telinga kami dalam masyarakat, membantu kami mengenal pasti bidang yang penduduk tidak mempunyai perkhidmatan mencukupi. Anda juga tangan dan kaki, mengumpulkan masyarakat, sumber dan rakan, bagi melaksana program demi membantu merapatkan jurang ini. Dengan menyatukan masyarakat untuk menjaga golongan mudah terjejas dan memerlukan, dan berbuat baik bagi orang lain, CDC membantu memperdalam rasa tanggungjawab kita terhadap satu sama lain."
- Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map