Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ceca tidak izin karyawan India masuk S'pura tanpa syarat

Ye Kung: Perjanjian Perdagangan Bebas penting bagi penakatan negara
Jul 07, 2021 | 05:30 AM



PERJANJIAN ekonomi Singapura dengan India tidak mewajibkan negara ini membenarkan kemasukan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) dari India tanpa syarat, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.



Dalam kenyataan menterinya mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) di Parlimen semalam, Encik Ong berkata FTA, seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (Ceca) India-Singapura, membawa banyak manfaat kepada Singapura, dan malah, penting bagi penakatan Singapura.



Encik Ong, yang pernah bertugas sebagai perunding perdagangan, berkata dalam semua perjanjian FTA dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), kuasa imigresen dipelihara dan dilindungi dengan kukuh dan jelas.



Menyentuh tentang kepalsuan berhubung imigresen Ceca, beliau berkata: "Tiada apa-apa dalam perjanjian yang membayangkan Singapura mesti membiarkan PME dari India masuk tanpa syarat.



"Bertentangan dengan dakwaan Parti Kemajuan Singapura (PSP), keupayaan kita mengenakan syarat bagi imigresen dan pas pekerjaan tidak pernah dipersoalkan dalam Ceca atau mana-mana FTA lain yang telah kita tandatangani."



Ceca ialah FTA antara Singapura dengan India yang dimeterai pada 2005 dan pada ketika itu dikatakan sebagai perjanjian bersejarah yang meningkatkan kerjasama dua hala antara kededua negara.



Namun, ia didakwa beberapa pihak sebagai membuka laluan bagi warga India 'mencuri' kerja daripada warga Singapura, satu isu yang ditimbulkan PSP berulang kali.



Kenyataan Encik Ong dibuat setelah beberapa soalan ditimbulkan berhubung FTA Singapura oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dan anggota PSP, Encik Leong Mun Wai, yang sebelum ini telah menerima cabaran untuk membahaskan dasar pekerjaan dan Ceca di Parlimen.



Dalam kenyataannya, Encik Ong berkata hal imigresen dinyatakan dalam Bab 9 Ceca berkenaan pergerakan individu, dengan jelas menunjukkan bahawa keupayaan pemerintah mengawal imigresen dan tenaga manusia asing tidak terjejas oleh perjanjian Ceca.



Pemerintah juga mempunyai hak penuh untuk memutuskan siapa yang boleh memasuki negara ini untuk hidup, bekerja atau menjadi penduduk tetap (PR) atau rakyat.



Encik Ong berkata ini dinyatakan dengan jelas dalam dua klausa, termasuk klausa 9.1.2 yang menyatakan: "Bab ini tidak dikenakan ke atas langkah-langkah berkaitan kerakyatan, kediaman tetap, atau pekerjaan secara tetap.'



Beliau menambah bahawa kewajipan berkaitan pergerakan individu dalam Ceca, seperti dalam semua FTA, bukan prinsip luas dengan kegunaan luas, tetapi sangat khusus.



Dalam kenyataan menteri yang dibentangkan Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng pula, beliau berkata jumlah pemegang Pas Pekerjaan (EP) dari India telah meningkat dari 13 peratus pada 2005 kepada 26 peratus pada tahun lalu. Ini didorong pertumbuhan pesat ekonomi digital Singapura dan bukan disebabkan layanan lebih berpihak kepada pemegang EP dari India disebabkan Ceca.



"Semua pemegang pas kerja di Singapura perlu memenuhi kriteria yang sama sebelum mereka dibenarkan masuk pasaran buruh kita. Tiada perbezaan berdasarkan kerakyatan. Sebaliknya, jumlah ini mencerminkan trend dalam permintaan sejagat dan bekalan bakat teknologi," kata beliau.



Sejak 2005, jumlah pemegang EP telah meningkat sebanyak 112,000, tetapi pada masa sama jumlah karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) tempatan juga meningkat sebanyak 380,000.



Dalam bahas menyusuli kenyataan menteri itu, Encik Leong berkata PSP tidak menentang FTA dan memahami kepentingan FTA bagi Singapura sebagai sebuah ekonomi terbuka dan negara kecil. Namun, beliau berkata mereka prihatin tentang kesannya ke atas negara ini.



Menjelaskan kepentingan FTA, Encik Ong berkata globalisasi sangat penting bagi penakatan Singapura. Ia terutamanya penting bagi SME di sini kerana ia membebaskan mereka daripada terbatas oleh pasaran domestik kecil negara ini, dan memberikan mereka akses kepada pasaran dunia.



FTA juga mendorong syarikat setempat menebarkan sayap ke luar negara, tambah Encik Ong, dengan pelaburan luar negara Singapura telah bertambah daripada $200 bilion pada 2005 kepada lebih $930 bilion pada 2019.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >