BANKER cemerlang, Encik Bahren Shaari, dilantik sebagai anggota Lembaga Pemegang Amanah Universiti Nasional Singapura (NUS) mulai 1 Jun.
Alumni (bekas siswa) NUS ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Bank of Singapore sejak 2015.
Awal sebelum ini, Encik Bahren adalah pengarah urusan kanan dan ketua pemasaran sejagat Asia Tenggara bank tersebut.
Encik Bahren, 58 tahun, adalah anggota Majlis Penasihat Presiden dan dianugerahkan Pingat Bintang Bakti Masyarakat pada 2018 dan Pingat Bakti Masyarakat pada 2008.
Institut Perbankan dan Kewangan Singapura juga mengiktirafnya dengan Anugerah Felow Cemerlang pada 2016. Bapa tiga anak ini mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri perbankan.
Encik Bahren juga adalah pengarah bebas dan bukan eksekutif Singapore Press Holdings sejak April 2012. Beliau juga pernah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Jauhari bagi individu cemerlang yang diteladani anjuran akhbar Berita Harian pada 2018.
Beliau menyertai 20 individu lain dalam Lembaga Pemegang Amanah NUS. Mereka antara lain adalah Duta Kelana Profesor Chan Heng Chee dan pengarah eksekutif pusat khidmat keganasan keluarga Pave, Dr Sudha Nair.
Pengerusi lembaga ini, Encik Hsieh Fu Hua, berkata:
"Kami menyambut penuh mesra Bahren sebagai anggota Lembaga Pemegang Amanah NUS. Anggota lembaga kami membawa kepada universiti ini kekayaan pengalaman dan pengetahuan dalam pelbagai sektor.
"Kami mengalu-alukan sumbangan yang boleh Bahren salur kepada universiti ini."
Anggota lembaga ini dilantik Kementerian Pendidikan (MOE). Mereka akan berkhidmat bagi penggal sehingga tiga tahun dan boleh dilantik semula selepas itu.
Peranan mereka adalah bekerjasama dengan pengurusan universiti bagi "mencorak visinya, melakar arah tuju utamanya dan membimbing universiti dalam inisiatif penting bagi menghasilkan kesan yang utuh dan lama bertahan buat NUS," jelas NUS dalam kenyataannya pada Isnin (24 Mei).