CHEVRON Singapore, yang mengendalikan kedai minyak Caltex, akan bekerjasama dengan SP Group untuk menubuhkan tempat mengecas kenderaan elektrik (EV) di sini.
Langkah itu dilaksana oleh Chevron 20 bulan selepas syarikat pesaing Shell menubuhkan tempat mengecas EV-nya sendiri.
Chevron dijangka menubuhkan tempat mengecas EV pantas di empat kedai minyak Caltex, iaitu di Chong Pang, Changi, Jurong Spring dan Dunearn.
Semua tempat pengecas EV itu akan dilengkapkan dengan pengecas arus terus (DC) 50 kiloWatt (kW) yang boleh mengecas sebuah EV dalam masa sesingkat 30 minit.
Tempat pengecas di Changi akan dipasang dengan dua pengecas sedemikian, yang direka untuk membolehkan sebuah kenderaan yang sesuai mengecas pada kadar 100 kW, apabila hanya satu pengecas digunakan.
Tiga lagi kedai minyak lain akan dilengkapkan dengan pengecas DC 50kW.
Bayaran yang akan dikenakan ialah 46.63 sen setiap kiloWat jam (kWh), berbanding 55 sen/kWh yang dikenakan oleh Shell.
Dalam satu kenyataan bersama semalam, SP dan Caltex berkata mereka akan meneliti corak penggunaan dan perbuatan pemilik EV di kedai-kedai minyak itu untuk memperhalusi dan mempertingkat penggunaan serta rancangannya mengadakan lebih banyak tempat mengecas EV dan juga di lokasi lain.
Alat pengecas akan dipasang pada suku kedua 2021, dan akan diterapkan dengan aplikasi (app) bimbit SP Utilities, yang akan membolehkan pemandu EV mencari tempat pengecas paling dekat dengan mereka.
Mereka juga boleh menerima maklumat terkini semasa mengecas kenderaan dan membuat bayaran secara langsung, menggunakan wadah bayaran tanpa tunai.
Tempat pengecas Shell, yang dinamakan sebagai Shell Recharge, disediakan di 18 minyak minyak Shell di serata negara.
Ia menyediakan pilihan mengecas DC 50kW dan juga arus ulang-alik (AC) 43 kW.
Tempat mengecas tersebut ditubuhkan oleh cabang perniagaan Shell sendiri bagi EV, iaitu Greenlots.