MENTERI Pendidikan Chan Chun Sing bakal menyampaikan kenyataan menteri dalam Parlimen minggu depan untuk menyentuh tentang keprihatinan ibu bapa dan masyarakat terhadap kejadian yang baru-baru ini berlaku di Sekolah Tinggi River Valley (RVHS).
Dalam pos Faceboonya semalam, Encik Chan berkata:
"Terdapat keprihatinan yang dapat difahami daripada ibu bapa dan masyarakat kita, mengenai apa yang dilakukan untuk menyokong sekolah kita dan mengenal pasti pelajar yang memerlukan."
Beliau juga menyatakan tentang bagaimana masyarakat telah bergabung dalam minggu yang sukar ini.
Isnin lalu, seorang pelajar berusia 13 tahun meninggal dunia di RVHS. Seorang pelajar berusia 16 tahun dari sekolah itu didakwa dengan pembunuhan budak lelaki itu di mahkamah daerah keesokan harinya.
Encik Chan berkata lagi:
"Masyarakat kita telah bersatu - daripada anggota awam yang meninggalkan bunga serta nota takziah dan galakan di sekolah itu, hingga ke kaunselor profesional yang tampil untuk menawarkan khidmat mereka, terdapat banyak perbuatan mengambil berat, kebaikan dan belas kasihan."
Beliau turut memuji guru dan kakitangan sekolah RVHS atas tindakan pantas dan tegas mereka untuk melindungi pelajar sewaktu kejadian itu dan walaupun hati mereka sakit, mereka tetap gagahi diri untuk menjaga pelajar setelah kejadian itu.