Cikgu Masran meninggal dunia

SEORANG aktivis Bahasa Melayu yang banyak memberi sumbangan terutama dalam pendidikan dan bahasa Melayu, Encik Masran Sabran, meninggal dunia semalam.

Allahyarham Masran, juga dikenali sebagai Cikgu Masran, 80 tahun, menghembuskan nafas terakhirnya sekitar 8.15 pagi di Hospital Khoo Teck Puat.

Ketika dihubungi, anak keduanya, Encik Mohd Iskandar Masran, 54 tahun, berkata bapanya dimasukkan ke hospital dua minggu lalu dan meninggal dunia akibat penyakit leukemia.

Allahyarham Cikgu Masran aktif dalam Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan Angkatan Sasterawan 50 (Asas '50).

Beliau pernah menerima 'Anugerah Aktivis Nusantara' atas sumbangannya pada dunia persuratan Melayu. Beliau merupakan penerima pertama anugerah itu.

Allahyarham Cikgu Masran merupakan seorang guru Bahasa Melayu di beberapa sekolah. Antaranya ialah Sekolah Menengah Kota Raja, Beatty, Monk's Hill dan Clementi Town.

Selain itu, beliau pernah mengajar di Brunei Darussalam selama empat tahun, menurut laman Asas '50.

Kehilangan Allahyarham Masran amat dirasakan beberapa rakan seperjuangannya.

Mantan Setiausaha Parlimen Kanan (Penerangan, Perhubungan dan Kesenian), Encik Yatiman Yusof, berkata beliau mengenali Allahyarhan Cikgu Masran lebih 50 tahun.

Menurutnya, Allahyarham Cigu Masran merupakan seorang rakan yang suka berjenaka, suka bergaul dan senang diajak berunding.

Allahyarham juga merupakan seorang yang disipilin dan teliti dalam menguruskan kewangan sebagai Penyimpan Amanah Kehormat bagi Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura (JBMS), tambahnya.

Jawatankuasa itu kini dikenali sebagai MBMS.

"Kami benar-benar berasakan kehilangannya sejak beliau sakit dan meletak jawatan.

"Kita kehilangan wira bahasa dan sastera.

"Meski tidak menulis banyak bahan sastera, beliau ibarat permata bagi aktivis Singapura. Beliau ibarat duta sastera dan bahasa Singapura," kata Encik Yatiman.

Allahyarham Cikgu Masran meninggalkan seorang balu, lima anak, 14 cucu dan empat cicit.

Jenazahnya selamat dikebumikan selepas asar semalam.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 26
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.