Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ciri kampung Masjid Petempatan Melayu Sembawang terus jadi daya tarikan

Feb 03, 2019 | 05:30 AM



Di tengah-tengah suasana moden Singapura pada zaman ini, masih lagi terdapat bukti kehidupan kampung pada zaman dahulu. Antara peninggalan zaman tersebut termasuk masjid-masjid yang terserlah ciri-ciri kampungnya. Wartawan SITI AISYAH NORDIN (naisyah@sph.com.sg) membawa anda ke beberapa pelosok Singapura di mana terdapat masjid tersebut.



JAUH daripada pandangan orang ramai, dikelilingi kehijauan alam semula jadi dan berdekatan dengan laut, terletak saki-baki kehidupan kampung di kawasan Sembawang.



Dibina pada 1963 oleh penduduk kampung kawasan itu sendiri, antaranya Kampung Tengah, Wak Hassan dan Hailan, Masjid Petempatan Melayu Sembawang merupakan antara beberapa masjid yang masih mengekalkan ciri kampung asli di Singapura hingga kini.



Lokasinya yang jauh daripada kesibukan bandar bermakna suasana kampung yang aman damai dapat dipelihara - demikian dapat dilihat semasa kunjungan wartawan ke masjid itu baru-baru ini.



Tiada sebarang bunyi kedengaran kecuali kicauan burung yang sekali-sekala singgah di masjid tersebut.



Menurut pengerusi Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Haji Mohd Amin Ab. Latip, 68 tahun, biasanya masjid itu tidak sibuk kecuali semasa sembahyang Jumaat, hujung minggu, Hari Raya dan tarawih.



Ruang luas di sekeliling kawasan masjid juga sering digunakan oleh badan-badan Melayu/Islam yang ingin mengadakan kegiatan atau perkhemahan, selain ia juga boleh dijadikan tempat majlis pernikahan.



Walau bagaimanapun, menurut Haji Mohd Amin, yang telah berkhidmat sebagai pengerusi masjid itu selama 35 tahun, ia sebenarnya menawarkan fungsi penting selain sebagai tempat ibadah dan kegiatan.



"Pekarangan masjid ini tidak berpagar. Ini bermaksud sesiapa sahaja, tidak kira bangsa atau agama, boleh menggunakan kemudahan di masjid ini seperti tandas atau tempat rehat dan berteduh, terutama bagi mereka yang pergi memancing di kawasan laut," katanya, menuding ke arah pantai Sembawang yang terletak berdekatan masjid itu, hanya lima minit jika berjalan kaki.



Selain itu, Haji Mohd Amin turut menekankan bahawa masjid itu tempat yang penuh nostalgia bagi bekas penduduk kampung kawasan itu atau anak-anak mereka dan menjadi tempat bertemu teman-teman lama.



"Masjid ini merupakan hasil titik peluh penduduk di sini kerana mereka sendiri menyumbang kepada pembinaannya dalam bentuk sumbangan wang mahupun tenaga.



"Maka itu ia mempunyai tempat yang istimewa dalam hati setiap bekas penduduk kampung kawasan ini, termasuk saya," katanya.



Haji Amin merupakan antara kanak- kanak yang telah bersingsing lengan mencurah tenaganya membantu pembinaan masjid tersebut pada zaman 60-an.



"Saya ingat lagi pada masa itu, kami pergi rumah ke rumah untuk mengumpul dana daripada penduduk kampung - 50 sen setiap seorang. Walaupun pada masa itu (sumbangan untuk bina masjid) bukan sesuatu perkara yang diwajibkan undang-undang, mereka sendiri bersemangat mahu membantu.



"Oleh kerana itu Masjid Petempatan Melayu Sembawang ini mempunyai nilai sentimental yang amat tinggi terutama sekali bagi bekas penduduk kampung kawasan itu dan keluarga mereka," ujarnya.



Pada zaman 80-an, kampung-kampung di kawasan tersebut terpaksa berpindah ke kawasan perumahan lain satu-persatu kerana tanah tersebut ingin dikosongkan pemerintah.



Masjid tersebut juga hampir dirobohkan.



Menurut Haji Mohd Amin, beliau, yang pada masa itu sudah pun berkhidmat sebagai pengerusi masjid, telah bertemu Anggota Parlimen (AP) kawasan Sembawang pada masa itu, Encik Tony Tan, yang kemudian membantu mereka 'menyelamatkan' masjid tersebut



Sejak itu, Masjid Petempatan Melayu Sembawang berada di bawah Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang diteruskan hingga kini.



Ia juga telah menjalani kerja pembaikan 10 tahun lalu. Rupa masjid itu telah diperbaharui tetapi ciri kampungnya tetap dikekalkan.



Walaupun program-program yang diadakan di masjid tersebut selaras dengan program di masjid lain seperti syarahan dan kelas agama, Haji Mohd Amin menekankan bahawa biasanya ia dianjurkan untuk kumpulan kecil.



Ini disebabkan lokasi masjid yang agak jauh dari stesen bas atau MRT.



Walau bagaimanapun, beliau tetap yakin masjid itu akan terus dikekalkan sebagai antara ciri-ciri terakhir kehidupan kampung di Singapura.



"Suasana kampung ini sukar didapati di kawasan lain di Singapura. Ramai jemaah memberitahu saya bahawa kalau mereka sembahyang di sini mereka memang berasa aman dan tenteram.



"Saya harap masjid ini dapat terus menjadi bukti wujudnya kehidupan kampung di sini dan terus dipelihara oleh generasi akan datang," kata Haji Mohd Amin.



"Saya ingat lagi pada masa itu, kami pergi rumah ke rumah untuk mengumpul dana daripada penduduk kampung - 50 sen setiap seorang. Walaupun pada masa itu (sumbangan untuk bina masjid) bukan sesuatu perkara yang diwajibkan undang-undang, mereka sendiri bersemangat mahu membantu. Oleh kerana itu Masjid Petempatan Melayu Sembawang ini mempunyai nilai sentimental yang amat tinggi terutama sekali bagi bekas penduduk kampung kawasan itu dan keluarga mereka."
- Haji Mohd Amin Ab. Latip, pengerusi Masjid Petempatan Melayu Sembawang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >