MESKIPUN ada sekatan Covid19 bagi mengadakan acara fizikal, pekerja dari Citi Singapura telah mengumpulkan lebih $150,000 bagi menyokong konsert kebajikan bagi belia ChildAid.
Sekitar 8,500 kakitangan bank itu mengambil bahagian dalam usaha mengumpul dana syarikat itu, bernama Citi Supports ChildAid 2021, dengan menyertai acara di alam maya atau kegiatan fizikal yang diadakan selaras dengan langkah pengurusan selamat.
Kegiatan-kegiatan itu termasuk bengkel kesihatan dan kesejahteraan di dalam talian, kelas memasak, membuat persembahan di wadah media sosial TikTok dan kegiatan berbasikal 419 kilometer, kata bank itu dalam kenyataannya semalam.
ChildAid, sebuah konsert tahunan bagi belia anjuran The Straits Times dan The Business Times sejak 2005 untuk mengumpul dana bagi kanak-kanak keluarga miskin yang dibantu menerusi Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (STSPMF) dan The Business Times Budding Artists Fund (BTBAF)
Encik Amol Gupte, ketua Citi di Asean dan Singapura, berkata bank itu telah menyokong STSPMF dan BTBAF sejak 2002.
"Kami sedar cabaran yang timbul disebabkan pandemik ini dan komited untuk menyokong klien, kakitangan, dan kumpulan-kumpulan dalam masyarakat kita yang paling teruk terjejas.
"Atas sebab inilah, kami juga memulangkan pendanaan yang kami terima melalui Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) kepada pemerintah Singapura supaya ia boleh dimanfaatkan oleh lebih ramai orang yang berkeperluan," ujar beliau.
STSPMF membantu pelajar daripada keluarga bergaji rendah dengan memberikan mereka bantuan wang bulanan bagi perbelanjaan berhubung sekolah, termasuk makanan dan tambang pengangkutan.
BTBAF pula membantu dengan memberi dana bagi latihan untuk belia yang berbakat artistik tetapi kesempitan wang.
Sejak 2002, Citi telah mengumpulkan sekitar $6.7 juta melalui dua dana itu.
Encik Helmi Yusof, pengerusi bersama ChildAid 2021 berkata:
"Derma yang diberikan Citi saban tahun telah membantu lebih 180,000 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah membeli makanan tengah hari, menaiki pengangkutan untuk berulang-alik ke sekolah dan menceburi pelbagai bidang seni.
"Sedang ibu bapa kanak-kanak yang menjadi benefisiari kami mencuba sedaya upaya untuk menyesuaikan kehidupan dengan kesan ekonomi yang disebabkan pandemik ini, Citi telah bersikap amat bermurah hati untuk membantu mereka."
"Derma yang diberikan Citi saban tahun telah membantu lebih 180,000 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah membeli makanan tengah hari, menaiki pengangkutan untuk berulang-alik ke sekolah dan menceburi pelbagai bidang seni."
- Encik Helmi Yusof, pengerusi bersama ChildAid 2021.