SYARIKAT perkapalan kontena Singapura, Neptune Orient Lines (NOL), berkata ia telah menyertai perbincangan eksklusif dengan syarikat CMA CGM untuk membincangkan kemungkinan NOL dijual kepada syarikat Perancis itu.
Dalam kenyataannya semalam, NOL berkata CMA CGM mempunyai sehingga 7 Disember ini untuk melakukan usaha wajar ke atas NOL dan subsidiarinya serta merundingkan persetujuan muktamad berhubung tawaran pembelian itu.
NOL awal bulan ini telah memberitahu para pemegang saham bahawa ia sedang menjalankan perbincangan awal dengan CMA dan Moller-Maersk, syarikat perkapalan terbesar dunia dari Denmark, tentang kemungkinan NOL akan dijual.
Syarikat Singapura itu yang mempunyai nilai pasaran sekitar $2.8 bilion diasaskan pada 1968 sebagai syarikat perkapalan nasional.
Namun, ia dibelenggu hutang dan tidak berupaya untuk mencatatkan keuntungan sejak beberapa tahun lalu dalam industri perkapalan global yang merosot.
Saham NOL, yang dimiliki oleh Temasek Holdings sebanyak 67 peratus, dijual pada harga $1.12 Jumaat lalu.
Namun, narga saham syarikat itu telah melonjak 20 peratus tahun ini ekoran laporan-laporan yang menyatakan NOL akan dijual.