HARGA Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) terkini bagi kebanyakan kategori telah meningkat, menjelang bekalan yang dikurangkan mulai bulan depan.
COE bagi kereta hingga 1,600 cc dan 130 kuasa brek kuda (bhp) meningkat kepada $45,600 daripada $44,589 tiga minggu lalu, sementara COE bagi kereta melebihi 1,600cc atau 130bhp kini lebih $50,000.
Ia kini berharga $52,309, berbanding $47,001 sebelum ini.
COE kategori terbuka pula, yang boleh digunakan bagi sebarang jenis kenderaan kecuali motosikal tetapi biasanya digunakan bagi kereta lebih besar, kini berharga $52,200, berbanding $47,806 sebelum ini.
Harga COE motosikal pula meningkat sedikit daripada $7,791 kepada $8,000.
Namun, COE bagi kenderaan komersial tidak meningkat. Ia turun daripada $39,589 kepada $36,134.
Pedagang kenderaan berkata permintaan bagi kereta telah meningkat kerana pembeli lebih mampu, menyusuli pasaran hartanah dan ekuiti yang baik.
Juga, penalti pengeluaran asap baru - bagi kereta lebih besar yang dianggap lebih mencemari udara - yang berkuat kuasa mulai Julai ini mendorong pelanggan lebih berkemampuan membeli kereta.