Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SOROTAN ISU

COE naik, permintaan kereta terpakai turut naik...

Harga kereta jenis itu juga naik dek bekalan yang berkurang
Mar 08, 2022 | 05:30 AM



DENGAN premium bagi Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang melonjak dan kekal di paras tinggi, permintaan bagi kereta terpakai turut meningkat hingga sesetengah dealer mendapati bekalannya sudah mula berkurangan.



Malah, ini juga antara yang menyebabkan harga kereta terpakai naik sekarang.



Setiausaha Kehormat Persatuan Peniaga Kenderaan Singapura (SVTA), Encik Raymond Tang, berkata kereta terpakai mendapat permintaan lebih tinggi daripada pelanggan antara lain disebabkan harga kereta baru yang lebih tinggi sekarang, dengan premium COE yang terus meningkat.



Dalam tender terkini Rabu lalu, premium COE bagi semua kategori naik, dengan premium bagi Kategori B dan Kategori Terbuka mencapai paras tertinggi sejak 2013.



Premium bagi kereta lebih besar dan berkuasa tinggi dalam Kategori B naik paling banyak, atau hampir $7,500 - daripada $86,102 kepada $93,590.



Ini disusuli dengan Kategori Terbuka, yang boleh digunakan bagi semua jenis kenderaan tetapi biasanya digunakan bagi kereta besar, dengan premium COE naik daripada $87,000 kepada $93,102.



Premium bagi kereta hingga 1,600 cc dengan kuasa tidak melebihi 130bhp dalam Kategori A turut naik daripada $60,761 kepada $63,000.



Menurut Encik Tang, orang ramai rata-ratanya sudah pun menjangkakan premium COE naik disebabkan jumlah kuota yang dikurangkan.



"Jika mereka memerlukan kereta dan mempunyai dana baginya, mereka tidak harus tunggu lama kerana mereka akan menyesal, premium COE akan terus naik.



"Dengan premium COE yang tinggi ini juga, permintaan bagi kereta terpakai meningkat kerana kosnya lebih rendah berbanding kereta baru dan pendahuluan yang perlu dibayar juga lebih rendah," ujarnya.



Menurut konsultan penjualan Performance Premium Selection, Encik Benny Heng, yang berurusan dengan kereta BMW terpakai, permintaan lebih tinggi bagi kereta terpakai yang lebih dimampui ini membolehkannya menjual stok kereta terpakai yang ada dengan lebih cepat.



"Kami ada pelanggan yang menantikan unit tertentu dan apabila kami ada unit itu, kami memberitahu mereka dan mereka terus datang ke bilik pameran," kata Encik Heng.



Pemilik Car 1 Motoring, Encik Muhammad Syafiq Rohajat, kini juga dapat tersenyum lebih lebar dengan jumlah jualan lebih tinggi sejak sekitar dua minggu lalu hasil permintaan lebih tinggi bagi kereta terpakai.



"Sekarang, kami boleh menjual kereta terpakai dalam masa satu hingga dua minggu selepas kami membelinya.



"Kalau dulu, selepas dua hingga empat bulan baru dapat jual," ujarnya.



Tambahnya, beliau juga menjangkakan permintaan bagi kereta terpakai terus rancak tahun ini, dengan premium COE dijangka terus kekal di paras tinggi.



Meskipun lebih mudah untuk menjual kereta terpakai sekarang, sesetengah dealer pula mengeluh kerana khuatir bekalan kereta terpakai akan menjadi tidak cukup.



Menurut Encik Heng, ini mungkin disebabkan pemilik kereta yang enggan menjual kereta mereka dan membeli kereta lain di tengah-tengah premium COE yang tinggi sekarang.



"Oleh itu, kami cuba menarik mereka dengan menawarkan nilai tukar beli yang lebih tinggi tapi hakikatnya dalam pasaran ini, dealer lain pun mahu membeli kereta mereka," ujarnya.



Dengan permintaan yang tinggi dan bekalan yang rendah, maka tidak hairanlah jika harga kereta terpakai turut meningkat.



Menurut pengurus jualan Epicarz, Encik Eugene Chua, pemilik kereta sekarang menjual kereta mereka kepada dealer pada harga yang lebih tinggi.



"Apabila dealer membeli kereta itu pada harga yang tinggi, kami juga harus menjual pada harga yang tinggi kepada pelanggan," ujarnya sambil menambah kereta terpakai yang dijualnya kini sekitar 2 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >