Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Connect@Changi benarkan pelawat niaga temu di SG tanpa kuarantin

• Kemudahan khusus di Singapore Expo & Max Atria itu bagi pelawat jangka pendek sehingga 14 hari • Tidak boleh tinggalkan kemudahan sepanjang inap; harus ambil ujian Covid-19 dengan tetap
Feb 19, 2021 | 05:30 AM



SEBUAH kemudahan khusus bagi penginapan dan mesyuarat secara bersemuka untuk pelawat perniagaan jangka pendek dari luar negara telah dilancarkan.



Para pelawat perniagaan yang menginap di Connect@Changi, yang terletak di Singapore Expo & Max Atria, tidak perlu menjalani kuarantin setibanya di sini.



Fasa pertama kemudahan itu dilancarkan dengan 150 bilik tetamu dan 40 bilik mesyuarat yang boleh menampung pelbagai saiz mesyuarat, daripada empat hingga 22 peserta.



Kemudahan itu - dipercayai pertama di dunia - dijangka mampu menampung sekitar 1,300 pelawat perniagaan pada satu masa apabila ia beroperasi sepenuhnya lewat tahun ini nanti.



Pelancaran Connect@Changi merupakan antara usaha dijalankan Singapura untuk mencergaskan semula mesyuarat perniagaan antarabangsa di tengah-tengah pandemik Covid-19, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, semasa pelancaran kemudahan itu semalam.



Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan, berkata Singapura sedang meneroka cara mengadakan persidangan dan mesyuarat secara bersemuka dengan selamat di tengah-tengah pandemik ini.



"Penyambungan semula lawatan perniagaan dan mesyuarat antarabangsa adalah penting untuk memangkinkan pemulihan ekonomi di Singapura dan serantau.



"Dengan berbuat demikian juga akan membantu mempercepatkan pemulihan sektor industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (Mice) dan pelayanan, yang telah terjejas teruk serta mengekalkan peranan kita sebagai hab perniagaan global," ujar beliau.



Connect@Changi adalah kemudahan pertama di bawah skim Connect@Singapore, yang akan membuka sempadan Singapura kepada "pelawat perniagaan, rasmi dan bernilai ekonomi tinggi".



Di bawah skim itu, pelawat bertempoh singkat sehingga 14 hari, boleh bertemu di kemudahan khusus di Singapura tetapi tidak boleh meninggalkan kemudahan itu sepanjang penginapan di sini.



Mereka harus mengambil ujian Covid-19 dengan tetap memandangkan tidak perlu menjalani kuarantin.



Menurut Encik Heng lagi, sedang keadaan Covid-19 global terus berubah, kita harus terus menyesuaikan diri dan berinovasi.



Dalam hal ini, beliau menggalak Connect@Changi supaya memainkan peranan sebagai 'makmal hidup' dan terus merintis cara baru.



"Sedang pandemik ini berubah-ubah, kita harus memanfaatkan teknologi dengan sebaiknya dan berinovasi.



"Kita harus mengambil peluang ini untuk mencipta semula diri kita dan masa depan, kerana kita tidak boleh kembali kepada masa lalu," tekan Encik Heng.



Projek itu dibangunkan oleh konsortium yang diketuai oleh Temasek dan firma lain, The Ascott Limited, Changi Airport Group, Sheares Healthcare Group, SingEx-Sphere Holdings dan Surbana Jurong.



Pengarah urusan kanan Temasek International, Encik Alan Thompson, berkata konsortium itu yakin adanya permintaan untuk kemudahan itu berdasarkan jumlah pertanyaan diterima dan analisis data pergerakan perniagaan sebelum Covid-19.



Kemudahan itu dijangka menerima tetamunya yang pertama bulan depan.



Antara yang sudah disahkan ialah Advanced MedTech Holdings, firma teknologi perubatan global yang ibu pejabatnya di Singapura.



Ia merancang menganjurkan mesyuarat kepimpinan kanan global di kemudahan itu, iaitu pertemuan pertama sejak berlakunya Covid-19 awal tahun lalu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >