KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) mengesahkan 13 kes jangkitan Covid-19 baru pada Khamis (10 Jun), dengan sembilan daripadanya merupakan kes import dan baki empat lagi dalam kalangan masyarakat.
Dalam kenyataannya, MOH berkata dua daripada empat kes ini ada kaitan dengan kes terdahulu, dengan seorang daripada mereka sudah dikuarantin manakala yang seorang lagi pula dikesan menerusi proses pengawasan.
Lagi dua kes pula tiada kaitan dengan kes sebelum ini.
Tiada kes dormitori dikesan.
Menurut MOH lagi, sembilan kes import pula sudah diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setibanya di Singapura.
Tujuh orang daripada mereka adalah warga Singapura atau Penduduk Tetap (PR) Singapura yang pulang ke Singapura.
Pada Rabu, Singapura mencatatkan empat kes Covid-19 baru, yang terendah dilaporkan sejak 23 Februari di mana empat kes juga dikesan.